MARA SALUR RM1.07 JUTA, 4 USAHAWAN WANITA LANGKAWI TERIMA MANFAAT
LANGKAWI, 4 OKTOBER 2026 – Empat usahawan wanita di Langkawi menerima kemudahan berjumlah RM1.075 juta menerusi SPiKE, Pembiayaan Am dan DanaNITA MARA dalam usaha membantu mengembangkan perniagaan serta meningkatkan kapasiti mereka.
Penyerahan kemudahan berkenaan berlangsung sempena Program Pemerkasaan Wanita & Komuniti MARA 2026 Parlimen Langkawi yang dirasmikan oleh YB Senator Datuk Rosni binti Sohar, Ahli Dewan Negara dan Ahli Majlis MARA merangkap Pengerusi Program Pemerkasaan Wanita & Komuniti MARA di Kompleks Kraf, Langkawi, semalam.
Program tersebut menghimpunkan hampir 300 wanita daripada pelbagai latar belakang termasuk usahawan, suri rumah, ibu tunggal, penjawat awam dan komuniti setempat, dengan pengisian yang memberi tumpuan kepada pembangunan diri, keusahawanan, kepimpinan serta kesejahteraan komuniti.
Selain kemudahan pembiayaan, peserta turut didedahkan kepada ekosistem keusahawanan MARA termasuk peluang mendapatkan sokongan dalam aspek pendigitalan, persijilan dan latihan bagi membantu mereka meningkatkan keupayaan serta daya saing perniagaan.
Pengisian program turut merangkumi Bicara Inspirasi Ikon Usahawan Berjaya, Taklimat Ekosistem Keusahawanan MARA, Taklimat Keselamatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi, pameran agensi, jualan usahawan wanita serta pelbagai aktiviti komuniti.
Dalam masa sama, manfaat program turut diperluas kepada komuniti setempat apabila seramai 20 penerima asnaf dari Langkawi menerima sumbangan wang tunai dan mesin kira-kira daripada Yayasan Pelajaran MARA dan Rural Capital Berhad (RCB), manakala 50 pelajar Sekolah Menengah Ayer Hangat turut menerima manfaat menerusi inisiatif tersebut.
Turut hadir, YBhg. Dato’ Hajah Norma binti Haji Awang, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pelajaran MARA; Encik Abdul Halim bin Mohammad, Pengarah MARA Negeri Kedah; Puan Hisyam Suhaily binti Othman, Ahli Lembaga Pengarah MARA Incorporated Sdn. Bhd.; serta Puan Umi Kalsom binti Abd Mutalib, Wakil Penasihat GIATMARA Langkawi.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen MARA dalam menyediakan akses kepada peluang dan sokongan yang dapat membantu wanita menjana pendapatan, mengembangkan perniagaan serta seterusnya memberi manfaat kepada keluarga dan komuniti.
Oleh: fn



