USAHAWAN MARA BAWA JENAMA MALAYSIA, SOKONG SUKAN NEGARA DI PENTAS LTdL 2026
PUTRAJAYA, 4 Oktober 2026 – Kejayaan usahawan MARA yang berkembang ke tahap lebih tinggi terus diterjemahkan melalui sumbangan kepada negara apabila Bubbles 02 Sdn. Bhd. tampil sebagai Penaja Utama dan Penaja Rasmi King of the Mountain (KOM) Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, sekali gus membawa jenama tempatan ke pentas sukan bertaraf antarabangsa.
Penglibatan tersebut turut menyaksikan YBrs. Ir. Dr. Mahzan bin Teh, Ketua Pengarah MARA, menghadiri LTdL 2026 Peringkat 8 di Putrajaya sebagai tetamu kehormat atas jemputan Bubbles 02.
Dalam peringkat perlumbaan Muar-Putrajaya itu, beliau turut diberi penghormatan untuk menyampalkan dan menyarungkan Jersi King of the Mountain (KOM) kepada Lennart Jasch daripada Tudor Pro Cycling Team, yang muncul sebagai pemenang klasifikasi tersebut dengan kutipan 45 mata.
Lebih daripada sekadar penajaan, penglibatan Bubbles 02 dalam LTdL 2026 memperlihatkan bagaimana kejayaan usahawan tempatan dapat memberikan nilai tambah kepada masyarakat dan negara melalui sokongan terhadap pembangunan sukan, penglibatan komuniti serta pengukuhan imej Malaysia di pentas antarabangsa.
Kehadiran jenama usahawan MARA dalam acara berprofil tinggi ini turut membuka ruang kepada pembinaan jaringan strategik, promosi jenama Malaysia dan pengembangan peluang perniagaan melalui ekosistem sukan yang menghimpunkan peserta, peminat, komuniti serta rakan industri dari dalam dan luar negara.
Perkembangan ini membuktikan bahawa usahawan MARA bukan sekadar membina perniagaan untuk mencapai kejayaan komersial, malah berupaya berkembang sebagai pemain yang menyumbang kepada pembangunan ekosistem negara dalam bidang ekonomi, komuniti dan sukan.
Penglibatan Bubbles 02 dalam LTdL 2026 juga mencerminkan impak jangka panjang pembangunan keusahawanan MARA dalam melahirkan usahawan Bumiputera yang berdaya saing, memiliki kekuatan jenama dan berupaya membawa nilai tempatan ke peringkat global, sekali gus memperkukuh peranan sektor swasta dan usahawan dalam menyokong aspirasi pembangunan negara.
Oleh: shafiz hamzah


