KPM BANDAR PENAWAR JUARA KESELURUHAN KASUKMA XVI 2026

mara

SERI ISKANDAR, 4 Oktober 2026-Karnival Sukan Kolej Profesional MARA dan Kolej MARA (KASUKMA) XVI 2026 melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama empat hari tiga malam di Kolej Profesional MARA (KPM) Seri Iskandar, Perak.

Karnival yang bermula pada 1 Oktober itu menghimpunkan seramai 380 atlet daripada 10 kontinjen terdiri daripada enam KPM dan empat KM, yang bersaing dalam sembilan acara sukan iaitu futsal, bola tampar, catur, road relay, petanque, badminton, ping pong, boling dan FIFA.

Majlis penutupan disempurnakan oleh YBng. Encik Zahari Aziz, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA di Dewan Utama, KPM Seri Iskandar.

Turut berlangsung sesi penyampaian hadiah sebagai penghargaan kepada pencapaian dan semangat juang yang ditampilkan para atlet sepanjang kejohanan.

Pada majlis sama, insentif sukan turut disampaikan kepada atlet yang berjaya meraih pingat pada SUKIPT sebagai penghargaan atas pencapaian mereka.

Dalam ucapannya, beliau mengingatkan bahawa KASUKMA bukan sekadar medan memburu pingat dan piala, malah menjadi platform pembangunan pelajar melalui nilai disiplin, kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan dan ketahanan diri.

Pengalaman bersukan juga dilihat sebagai pelengkap kepada kecemerlangan akademik dalam usaha membentuk pelajar MARA yang seimbang dan berdaya tahan.

KASUKMA XVI 2026 turut menyaksikan penyerahan bendera tuan rumah kepada KPM Beranang sebagai simbol kesinambungan penganjuran KASUKMA 2027, sekali gus meneruskan tradisi keemerlangan sukan dalam kalangan warga KPM dan KM.

Oleh: s