КРТМ PERKASA KUALITI AKADEMIK MELALUI PENGIKTIRAFAN PANEL PENILAI LUAR

mara

KUALA LUMPUR, 22 OKTOBER 2026 – Kolej Poly-Tech MARA San. Bhd. (KPTMSB) terus memberi tumpuan kepada kualiti akademik melalui penglibatan Panel Penilai Luar (PPL) bagi memastikan program pengajian memenuhi standard yang ditetapkan serta kekal relevan dengan keperluan industri.

Usaha ini diteruskan menerusi penganjuran KPTM Excellence Partners Appreciation 2026 di Hotel Primera, Kuala Lumpur, hari ini bagi menghargai sumbangan ahli akademik dan wakil industri yang berkongsi kepakaran serta pandangan profesional dalam penilaian dan penambahbaikan program pengajian KPTM.

Puan Lailatul Asmah Mohd Tahir, Pengarah Kanan Pelaburan MARA, berkata penglibatan PPL penting untuk memastikan program akademik sentiasa memenuhi standard kualiti, selain mengambil kira perubahan landskap pekerjaan dan keperluan masa hadapan.

Menurut beliau, penilaian luar bukan sekadar proses pematuhan standard, malah memberi ruang kepada institusi untuk mengenal pasti kelemahan, menambah baik kurikulum dan meningkatkan keberkesanan pengajaran serta pembelajaran. Pendekatan ini juga membantu menyediakan graduan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan dalam dunia pekerjaan.

PPL KPTM terdiri daripada Panel Pemeriksa Luar dalam kalangan ahli akademik dan Panel Penasihat Luar daripada industri. Kedua-dua kumpulan ini menilai kurikulum, kaedah penilaian, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran serta pencapaian hasil pembelajaran.

Proses penambahbaikan turut mengambil kira Malaysian Qualifications Framework (MQF) 2.0, Values-Based Education (VBE) dan Education for Sustainable Development (ESD) bagi melahirkan graduan yang berilmu, beretika dan bertanggungjawab.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian plak penghargaan kepada 46 Panel Penilai Luar yang hadir. Turut hadir Tuan Haji Yahaya Sani, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corporation, Encik Mohamed Saifuddin Hussin, Ketua Pegawai Operasi KPTMSB, serta barisan pengurusan MARA, KPTM dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).

Penglibatan Panel Penilai Luar diharap dapat membantu KPTM terus menambah baik kualiti program pengajian, memenuhi keperluan industri dan melahirkan graduan yang bersedia menghadapi alam pekerjaan.

Oleh: shafiz hamzah