75 USAHAWAN SERTAI KL SHOWCASE 2026 X PESTA SERI RASA, MARA PERLUAS PELUANG PERNIAGAAN
KUALA LUMPUR, 22 OKTOBER 2026 – Penyertaan 75 usahawan Wilayah Persekutuan dalam KL SHOWCASE 2026 x PESTA SERI RASA membuka peluang untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan, meluaskan jaringan perniagaan serta meneroka pasaran baharu menerusi platform yang disediakan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Berlangsung dari 21 hingga 25 Oktober 2026 di Medan MARA, Kuala Lumpur, program ini menerima kunjungan Yang Berhormat Datuk Hajah Rubiah Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, bagi menyantuni usahawan serta meninjau penyertaan mereka dalam kluster makanan dan minuman (F&B) serta perkhidmatan.
Ketibaan beliau di Hotel Premiera disambut dengan paluan kompang sebelum diiringi ke pintu gerbang program dengan persembahan silat selamat datang.
Beliau kemudiannya membacakan watikah perasmian KL SHOWCASE 2026 x PESTA SERI RASA. Turut hadir Puan Lailatul Asmah Mohd Tahir, Pengarah Kanan Pelaburan MARA, dan Tuan Syed Saifuddin Syd Ahmad, Pengarah MARA Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bersama barisan pengurusan MARA.
Bertemakan Melayu Klasik, program ini menggabungkan seni, budaya dan busana tradisional bagi mengetengahkan warisan Melayu kepada masyarakat.
Busana songket rona bir yang ditenun khas oleh Persatuan Penyewa Premis Perniagaan Medan MARA dan dikenakan oleh beliau turut menyerlahkan keindahan seni tekstil tradisional.
Pelbagai aktiviti, termasuk pertandingan dan persembahan pentas, diadakan sepanjang lima hari penganjuran bagi menarik kunjungan masyarakat. Pada masa yang sama, penyertaan usahawan menyediakan ruang untuk mempromosikan produk, berinteraksi dengan pelanggan dan membina hubungan perniagaan bagi meluaskan capaian pasaran.
Orang ramai dijemput mengunjungi KL SHOWCASE 2026 x PESTA SERI RASA di Medan MARA sehingga 25 Oktober 2026 bagi menikmati pelbagai aktiviti bertemakan Melayu Klasik serta menyokong produk dan perkhidmatan usahawan tempatan sempena sambutan 60 tahun MARA.
Oleh: shafiz hamzah



