MARA BUKA LALUAN MASA DEPAN 17,000 BELIA PAHANG, PERKASA BAKAT DALAM SEKTOR HGHV

mara

KUALA LIPIS, 22 Oktober 2026 – MARA menyasarkan penyertaan 17,000 belia di 14 kawasan Parlimen di Pahang menerusi Jelajah Pahang 1st, Pendidikan Tinggi & TVET MARA 2026 bagi memperluas pendedahan kepada peluang pendidikan, latihan kemahiran dan laluan kerjaya yang memenuhi keperluan sektor pertumbuhan tinggi, nilai tinggi (High Growth High Value, HGHV).

Pengerusi MARA, YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki berkata, pendedahan kepada pelbagai laluan pendidikan perlu bermula sejak di bangku sekolah supaya golongan muda tidak hanya tertumpu kepada laluan akademik konvensional, sebaliknya turut mempertimbangkan pendidikan teknikal dan kemahiran sebagai pilihan untuk membina kerjaya serta meningkatkan taraf hidup.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada program berkenaan, sambil menekankan kepentingan penguasaan ilmu, kemahiran dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi bagi melahirkan tenaga kerja berdaya saing.

Program anjuran Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang itu dirasmikan oleh YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang.

Penganjuran jelajah ini membawa maklumat berkaitan institusi pendidikan tinggi, latihan kemahiran, bantuan dan pembiayaan pendidikan serta prospek kerjaya lebih dekat kepada belia, termasuk pelajar lepasan SPM, pelajar Tingkatan Enam dan golongan belia dalam komuniti.

Melalui pameran institusi pendidikan, sesi konsultasi syarat kemasukan dan taklimat hala tuju kerjaya, peserta berpeluang mendapatkan maklumat secara langsung untuk mengenal pasti bidang pengajian yang bersesuaian dengan minat, kelayakan dan keperluan industri.

Pendedahan ini turut membantu belia memahami kaitan antara pendidikan tinggi, latihan teknikal dan kemahiran dengan keperluan tenaga kerja dalam sektor HGHV, sekali gus membolehkan mereka merancang laluan pendidikan dan kerjaya berdasarkan maklumat yang tepat.

Dalam usaha menyokong akses pendidikan, YPM telah menyalurkan bantuan berjumlah RM2.68 juta yang memberi manfaat kepada 6,534 pelajar setakat September 2026 menerusi enam program, iaitu Program Tuisyen Pintar YPM, Selangkah ke Universiti, Skim Dana Ehsan Pendidikan, Program Pembangunan Kecemerlangan Insan (PKPI), Skim Bantuan Persekolahan dan Skim Anak Angkat.

Oleh: fn