𝗞𝗢𝗟𝗔𝗕𝗢𝗥𝗔𝗦𝗜 𝗦𝗧𝗥𝗔𝗧𝗘𝗚𝗜𝗞 𝗠𝗔𝗥𝗔 – 𝗣𝗨𝗡𝗕 𝗣𝗔𝗦𝗧𝗜𝗞𝗔𝗡 𝗘𝗞𝗢𝗦𝗜𝗦𝗧𝗘𝗠 𝗞𝗘𝗨𝗦𝗔𝗛𝗔𝗪𝗔𝗡𝗔𝗡 𝗕𝗨𝗠𝗜𝗣𝗨𝗧𝗘𝗥𝗔 𝗧𝗘𝗥𝗕𝗘𝗟𝗔

mara

KUALA LUMPUR, 22 Mei 2026 – MARA bersama Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bergerak seiring dalam usaha memperluas kerjasama serta meneroka peluang baharu bagi memperkasa ekosistem keusahawanan negara buat Bumiputera.

Perjumpaan ini menjadi platform penting dalam menyelaras inisiatif pembangunan usahawan yang lebih mampan, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa, selari dengan aspirasi MARA sempena sambutan 60 tahun penubuhannya dalam memperluas peluang pembangunan sosioekonomi Bumiputera secara inklusif dan berimpak tinggi.

Antara fokus utama yang disentuh termasuk penglibatan usahawan Bumiputera dalam industri baharu seperti Renewable Energy, Electrical & Electronics (E&E) serta automotif yang dilihat mampu menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi masa hadapan.

MARA turut memberi penekanan terhadap agenda pengantarabangsaan menerusi program “Gate to Global” bagi membawa produk dan perkhidmatan usahawan Bumiputera menembusi pasaran antarabangsa, sekali gus meningkatkan daya saing syarikat tempatan di peringkat global.

Dalam masa sama, kedua-dua agensi turut membincangkan usaha melahirkan lebih banyak syarikat Bumiputera berimpak tinggi seperti Gading Kencana, di samping mengenal pasti usahawan berpotensi untuk dibimbing serta dipertingkat penglibatan mereka sehingga mampu berkembang sebagai pemain industri berjaya.

Usaha ini turut dilihat seiring dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang menekankan pembangunan ekosistem keusahawanan Bumiputera lebih mampan, inovatif dan berdaya tahan melalui penglibatan strategik dalam sektor bernilai tinggi.

Kerjasama strategik ini juga membuka ruang kepada penyediaan kemudahan pembiayaan yang lebih komprehensif bagi membantu usahawan meningkatkan operasi perniagaan, memperluas kapasiti serta mempercepatkan pertumbuhan syarikat.

Selain itu, MARA dan PUNB turut meneliti pendekatan terbaik bagi membantu usahawan memiliki premis perniagaan sendiri sebagai langkah jangka panjang untuk meningkatkan kestabilan operasi, membina aset perniagaan serta meningkatkan keyakinan usahawan dalam mengembangkan perniagaan mereka.

Sinergi antara MARA dan PUNB ini diharap mampu menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai usahawan Bumiputera yang progresif, berdaya tahan dan kompetitif dalam sektor strategik negara.

Oleh: shafiz hamzah