𝗠𝗔𝗥𝗔 𝗜𝗡 𝗙𝗔𝗦𝗛𝗜𝗢𝗡 𝗕𝗔𝗪𝗔 𝗥𝗘𝗞𝗔𝗔𝗡 𝗞𝗘 𝗣𝗘𝗥𝗦𝗔𝗗𝗔 𝗚𝗟𝗢𝗕𝗔𝗟
KUALA LUMPUR, 5 Mei 2026 – MARA In Fashion (MIF) Fashion Runway tampil bukan sekadar pentas peragaan, sebaliknya menjadi platform strategik dalam memperkasakan industri fesyen Bumiputera sempena Sambutan 60 Tahun MARA di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Program bertemakan “6 Dekad Menyulam Legasi, Mengilhamkan Evolusi Fesyen” itu disempurnakan oleh Ahli Majlis MARA, YB Senator Datuk Rosni Sohar, sekali gus mengangkat peranan MARA dalam memperluas pengaruh industri kreatif ke peringkat lebih tinggi.
Pentas berprestij tersebut menghimpunkan nama besar industri seperti Rizman Ruzaini, Thalia, Mirol Jonit, Anggun Cotton, Kebaya Selangor dan Yani Bakhtiar yang menampilkan rekaan eksklusif masing-masing, merangkumi konsep modest fashion, moden kontemporari serta busana pengantin yang semakin mendapat tempat di pasaran global.
Dalam masa sama, MIF turut membuka ruang kepada bakat muda apabila pelajar TVET dari TVET MARA Rembau dan GIATMARA Kuala Lumpur diberi peluang menyerlah di pentas sebenar industri. Malah, penyertaan mereka di pentas antarabangsa seperti World Expo Osaka, Jepun tahun lalu membuktikan keupayaan bakat tempatan untuk bersaing di peringkat global.
Penganjuran program ini dilihat sebagai langkah proaktif MARA dalam melahirkan lebih ramai usahawan fesyen berdaya saing, selain memperluas jaringan kolaborasi industri dan mengukuhkan ekosistem fesyen Bumiputera secara menyeluruh.
Selepas enam dekad, MARA terus menyulam legasi bukan sahaja dalam bidang pendidikan dan keusahawanan, malah kini semakin agresif mengorak langkah dalam industri kreatif negara, seiring aspirasi membawa rekaan tempatan ke persada global.
Oleh: fadhly



