π—£π—˜π—‘π——π—œπ——π—œπ—ž π—•π—œπ—§π—”π—₯𝗔 π—‘π—”π——π—œ π—žπ—˜π—–π—˜π— π—˜π—₯π—Ÿπ—”π—‘π—šπ—”π—‘ π—£π—˜π—‘π——π—œπ——π—œπ—žπ—”π—‘ 𝗠𝗔π—₯𝗔

mara

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Pengerusi MARA semalam merasmikan Hari Anugerah Pendidik MARA 2026 sebagai tanda penghargaan kepada 9,987 pendidik yang berkhidmat di 346 Institusi Pendidikan MARA (IPMA) di seluruh negara.

Penganjuran bertemakan Guru Bitara, Nadi Negara itu menjadi wadah mengiktiraf jasa dan dedikasi warga pendidik dalam melahirkan modal insan Bumiputera yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing di peringkat global.

Dalam ucapannya, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi berkata, MARA perlu merancang sistem pendidikan bukan sekadar untuk memenuhi keperluan semasa, sebaliknya membina generasi yang bakal menerajui negara dalam tempoh 40 tahun akan datang.

Beliau menegaskan bahawa transformasi pendidikan MARA akan terus dipacu melalui pendekatan holistik yang memberi penekanan kepada pemodenan TVETMARA, pendigitalan pedagogi, pengukuhan kurikulum berasaskan industri serta pembangunan bakat dalam bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pusat data dan teknologi masa hadapan.

Beliau turut mengumumkan beberapa inisiatif strategik bagi memperkukuh ekosistem pendidikan MARA, antaranya peruntukan RM145,000 untuk Program Pembangunan Kecemerlangan MRSM Berprestasi Tinggi 2025, penempatan warden lantikan luar secara berperingkat di semua 58 MRSM bagi mengurangkan beban tugas guru, serta peluasan program pembangunan profesional warga pendidik melalui MARA Future Leaders (MFL), MARA Future Experts (MFE), kerjasama bersama Asia e University dan Malaysia Board of Technologists (MBOT).

Pada tahun ini juga, MARA melaksanakan 361 program latihan dengan pelaburan melebihi RM8.78 juta bagi memperkasa kompetensi pendidik selaras dengan aspirasi Pelan Strategik MARA 2026–2030.

Majlis turut menyaksikan penyampaian pengiktirafan berprestij kepada Tuan Haji Zulfakar bin Maamor bagi kategori Anugerah Tokoh Pendidik MARA, selain dari penerima Anugerah Pendidik Cemerlang MARA, Anugerah Institusi Pendidikan MARA Terbaik, Anugerah Khas Hari Pendidik,

Anugerah Ikon Pendidik Wanita, Anugerah Ikon Pendidik Lelaki serta Anugerah Pakar Subjek atau Kluster. Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan MARA dalam menghargai kecemerlangan warga pendidik yang menjadi tonggak kepada pembangunan pendidikan dan kemajuan negara.

Oleh: firusafira