FROM ISLAND TO HIGHLAND: KEUNIKAN WARISAN DAN KEUSAHAWANAN PAHANG JADI TARIKAN DI MEDAN MARA
KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Keunikan negeri Pahang bukan sekadar terletak pada keindahan alamnya, tetapi turut terserlah melalui hasil tangan, cita rasa dan kreativiti usahawan tempatan yang kini diketengahkan menerusi Pahang Showcase 2026 di Medan MARA, di sini.
Berlangsung dari 28 hingga 31 Oktober, Pahang showcase bertemakan “From Island to Highland” itu menghimpunkan 68 sahawan MARA Negeri Pahang dalam usaha memperkenalkan produk tempatan kepada pasaran yang lebih luas, di samping mengetengahkan kekayaan seni, budaya dan warisan negeri itu.
Pahang Showcase menawarkan pelbagai aktiviti yang menggabungkan jualan produk, demonstrasi, persembahan kebudayaan serta aktiviti interaktif.
Pengunjung turut berpeluang mengenali produk usahawan secara lebih dekat menerusi sesi siaran langsung TikTok dan demonstrasi produk.
Pada hari pertama showcase pada hari ini, kehadiran YBhg. Ir. Dr. Mahzan Teh, Ketua Pengarah MARA menyerlahkan usaha mengangkat keunikan Pahang menerusi warisan dan hasil kreativiti usahawan tempatan.
Disambut dengan persembahan tarian kebudayaan Negeri Pahang, beliau turut mencuba sendiri pengalaman menenun Tenunan Pahang serta menyempurnakan pelancaran produk Kulat Sisir keluaran Saiful Teguh Sdn. Bhd.
Kemeriahan turut melangkaui ruang pameran menerusi aktiviti mewarna batik, pameran seni, pertandingan Hot Wheels dan Food Festival yang mengetengahkan jualan makanan dan minuman serta demonstrasi masakan Pahang.
Gabungan aktiviti ini memberi ruang kepada pengunjung menikmati kepelbagaian produk dan budaya negeri itu dalam suasana yang lebih dekat dan santai.
Lebih daripada sekadar ruang jualan, Pahang Showcase menjadi platform untuk usahawan memperkenalkan produk, meluaskan capaian pasaran dan mendekatkan identiti Negeri Pahang kepada masyarakat. Turut hadir ialah Dr. Azmi Amat Murjan, Timbalan Ketua Pengarah Khidmat Pengurusan MARA dan Pn. Lailatul Asmah Mohd Tahir, Pengarah Kanan Pelaburan MARA.
Oleh: Fatin Nazirah Sobri



