MARA BUKA LALUAN PENDIDIKAN DAN KERJAYA LEBIH LUAS UNTUK GENERASI HUFFAZ

mara

ALOR GAJAH, 1 NOVEMBER 2026 – MARA terus memperluas peluang pendidikan dan kerjaya golongan huffaz melalui pembangunan ekosistem Huffaz Technologist yang mengintegrasikan hafazan al-Quran dengan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), teknologi serta bidang profesional.

Usaha ini dizahirkan menerusi Majlis Penutupan Mahrajan Mahabbatul Ilmi 2026 yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki, Pengerusi MARA di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Chemical and Bioengineering Technology (UniKL MICET), hari ini.

Inisiatif pembangunan bakat huffaz oleh MARA telah membuka laluan lebih luas kepada golongan berkenaan untuk melanjutkan pengajian dan menceburi bidang profesional. Antaranya, sembilan lepasan tahfiz menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Jordan, 13 orang terpilih mengikuti Young Talent Programme MARA, manakala seorang lagi ditawarkan laluan mendapatkan lesen juruterbang komersial.

Selain itu, Program Industrial Boot Camp menyasarkan 720 pelajar tahfiz untuk mengikuti latihan teknikal dan profesional serta memperoleh pensijilan yang diiktiraf industri.

Komitmen ini turut diterjemahkan melalui Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) TVET Tahfiz UniKL dengan peruntukan RM2.5 juta daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta MARA, yang menyasarkan sekurang-kurangnya 650 pelajar atau graduan tahfiz di lima negeri. Program ini menyediakan akses kepada latihan kemahiran jangka pendek berdasarkan kepakaran UniKL, sekali gus membuka peluang kepada golongan tahfiz meningkatkan kompetensi dan kebolehpasaran dalam pelbagai bidang industri.

Mengulas hala tuju pembangunan Huffaz Technologist, YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi berkata, “Hasrat MARA bukan hanya tertumpu kepada penghafazan al-Quran, tetapi bagaimana melahirkan generasi Jilul Quran, iaitu generasi yang bukan sahaja menghafaz al-Quran, malah menghayati dan menjadikannya sebagai panduan dalam kehidupan. Hasrat ini selari dengan falsafah pendidikan MARA untuk membangunkan generasi pelajar yang seimbang dan holistik.”

Mahrajan Mahabbatul Ilmi 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober lalu menghimpunkan 231 peserta menerusi enam kategori pertandingan serta sesi perkongsian ilmu. Program ini turut mendapat sokongan rakan strategik termasuk Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Iqra’ Arabiya, Universiti Umm Al-Qura, Mekah, Majlis Hal Ehwal Islam Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (MAHEIS) dan TV Al-Hijrah.

Sebagai sebahagian daripada sokongan pembangunan ilmu, Iqra’ Arabiya dan Universiti Umm Al-Qura turut menaja lapan biasiswa bagi membolehkan pemenang mengikuti Program Pembelajaran Bahasa Arab selama sebulan di Mekah, termasuk yuran program, penginapan, pengangkutan darat dan makanan.

Oleh: Fatin Nazirah Sobri