i-MARATECH 2026 RAIKAN KECEMERLANGAN PENCETUS INOVASI

mara

KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2026 – Daripada ratusan idea yang diketengahkan, hanya inovasi terbaik berjaya melangkah ke pentas pengiktirafan Pertandingan Inovasi i-MARATeCH 2026 yang berlangsung di Lobi Ibu Pejabat MARA hari ini, sekali gus menyerlahkan keupayaan warga dan pelajar MARA dalam menghasilkan penyelesaian kreatif yang berpotensi memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.

Projek MyClaim daripada Bahagian Kewangan MARA muncul sebagai Juara Anugerah Inovasi MARA 2026, selain meraih pingat emas bagi kategori Inovasi Sistem Staf MARA. Antara inovasi lain yang meraih emas termasuk ULTRABRICK daripada TVETMARA Sri Gading, Simulasi Kimia Cikgu Hafreez daripada MRSM Bagan Datuk, DIMENSA daripada TVETMARA Lenggong serta Al TrackEye 3rd Rail Thickness Inspection System daripada German Malaysian Institute (GMI).

Tan Sri Muhammad Ibrahim, Ahli Majlis MARA menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang serta mengadakan sesi walkabout bagi meninjau hasil inovasi yang dipamerkan. Sesi tersebut turut memberi peluang kepada para peserta memperkenalkan produk dan teknologi yang dibangunkan serta mengetengahkan potensi penggunaannya dalam pelbagai sektor.

Turut mendapat perhatian ialah inovasi Temiar Medication Literacy Innovation Kit (Kit Mog Lex Ubat Ek) daripada UniKL Royal College of Medicine Perak (RCMP) yang meraih pingat perak. Projek berteraskan literasi ubat ini memperlihatkan bagaimana kreativiti dan kepakaran dalam bidang kesihatan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang lebih dekat dengan keperluan komuniti Orang Asli.

Penganjuran i-MARATeCH 2026 bukan sekadar medan persaingan, malah menjadi platform mengetengahkan hasil penyelidikan, kreativiti dan kepakaran warga serta pelajar MARA yang berpotensi untuk diaplikasikan dan dikomersialkan, seiring aspirasi MARA untuk membudayakan inovasi berimpak tinggi dalam ekosistem pendidikan dan organisasi.

Oleh: nn