MAJLIS MARA SANJUNG JASA, HARGAI LEGASI KEPIMPINAN MANTAN KETUA PENGARAH MARA
KUALA LUMPUR, 20 OKTOBER 2026 – Majlis MARA menganjurkan majlis makan tengah hari bagi meraikan Dato’ Seri Zulfikri Osman, mantan Ketua Pengarah MARA, sebagai tanda penghargaan atas kepimpinan, komitmen dan khidmat bakti beliau sepanjang menerajui MARA.
Majlis tersebut diketuai oleh YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi MARA, dan turut dihadiri Ahli-ahli Majlis MARA sebagai tanda penghormatan terhadap sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan.
Penghargaan ini mencerminkan pengiktirafan MARA terhadap sumbangan Dato’ Seri Zulfikri dalam memajukan agenda pendidikan, keusahawanan dan pembangunan sosioekonomi Bumiputera, selaras dengan peranan MARA dalam menyediakan peluang pendidikan, melahirkan usahawan serta memperluas penyertaan Bumiputera dalam kegiatan ekonomi negara.
Kepimpinan dalam sesebuah organisasi bukan sahaja dinilai melalui pelaksanaan tanggungjawab, malah trut dilihat menerusi sumbangan terhadap kesinambungan usaha dan pencapaian matlamat organisasi.
Sehubungan itu, penghargaan yang diberikan menjadi wadah untuk mengenang khidmat bakti beliau serta menghargai peranan yang telah dilaksanakan sepanjang menerajui MARA.
MARA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa serta bakti Dato’ Seri Zulfikri Osman.
Legasi kepimpinan yang ditinggalkan diharap terus menjadi inspirasi kepada seluruh warga MARA untuk meneruskan amanah dalam memperkasa agenda pembangunan Bumiputera, khususnya melalui pendidikan, keusahawanan dan pembangunan sosioekonomi masyarakat.
Oleh: shafiz hamzah



