MARA-JPK PERLUAS KERJASAMA STRATEGIK, PACU PENGANTARABANGSAAN TVET
PUTRAJAYA, 20 OKTOBER 2026 – Kerjasama strategik antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) membuka peluang lebih luas kepada peserta dan alumni program latihan kemahiran untuk mendapatkan pengiktirafan kompetensi, di samping memperluas akses kepada peluang pekerjaan antarabangsa.
Usaha ini turut memberi tumpuan kepada pensetaraan kemahiran berasaskan pengalaman industri serta pembangunan laluan kerjaya tenaga mahir Malaysia agar selari dengan keperluan industri dan standard persijilan kemahiran negara.
Ir. Dr. Mahzan bin Teh, Ketua Pengarah MARA mengadakan kunjungan hormat kepada Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman bin Hj. Md. Ali, Ketua Pengarah JPK bagi membincangkan hala tuju kerjasama kedua-dua agensi, khususnya dalam pembangunan bakat berkemahiran tinggi, pensetaraan kompetensi dan peluasan peluang kerjaya tenaga mahir Malaysia di peringkat antarabangsa.
Pertemuan ini merupakan kesinambungan hubungan kerjasama MARA dan JPK, termasuk menerusi lawatan kerja bersama ke Jepun pada Oktober 2026 yang memberikan pendedahan langsung terhadap pelaksanaan program perantisan industri, pembangunan kompetensi serta ekosistem latihan dan pekerjaan tenaga mahir di negara tersebut.
Antara agenda utama yang dibincangkan ialah usaha pensetaraan kompetensi peserta dan alumni program perantisan MARA-OISCA melalui mekanisme Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) Khas. Inisiatif ini berpotensi membuka laluan kepada pengiktirafan pengalaman dan kemahiran yang diperoleh melalui pendedahan industri antarabangsa dalam sistem persijilan kemahiran Malaysia, tertakluk kepada standard serta proses penilaian yang ditetapkan.
Dalam aspek pengantarabangsaan TVET, kedua-dua pihak turut meneroka peluang memperluas pembangunan bakat menerusi kerjasama dengan industri antarabangsa, penempatan latihan, pemindahan teknologi serta pembukaan laluan kerjaya global kepada tenaga mahir Malaysia.
Pengalaman MARA bersama rakan industri Jepun melalui program Technical Intern Training Program (TITP) dan Specified Skilled Worker (SSW) turut menjadi rujukan dalam membangunkan laluan yang menghubungkan latihan, pengalaman industri, pengiktirafan kompetensi dan peluang pekerjaan di dalam serta luar negara.
Kerjasama ini diharap dapat memperluas peluang pengiktirafan kemahiran dan mobiliti tenaga kerja, di samping memastikan pembangunan TVET terus memenuhi keperluan industri serta membuka lebih banyak peluang kepada tenaga mahir Malaysia untuk menembusi pasaran pekerjaan antarabangsa.
Oleh: shafiz hamzah



