TEMPOH PELAWAAN, TAKLIMAT SERTA TARIKH TUTUP BAGI TENDER DAN SEBUT HARGA DI IBU PEJABAT MARA BERIKUTAN PELAKSANAAN TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN / PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT / PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN PEMULIHAN

Kerajaan pada 11 Januari 2021 telah mengumumkan untuk melaksanakan semula tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi seluruh negara bermula 13 Januari 2021 hingga 26 Januari 2021. Pusat MARA di seluruh negara adalah tertakluk kepada arahan Kerajaan tersebut. Walau bagaimanapun, urusan perolehan Tender dan Sebut Harga MARA yang melibatkan tarikh penjualan dokumen, taklimat/lawatan tapak dan tarikh tutup penghantaran dokumen bagi Ibu Pejabat MARA akan KEKAL sepertimana yang telah dijadualkan semasa tempoh PKP ini.

Untuk makluman, pihak syarikat boleh membuat penghantaran dokumen Tender/Sebut Harga ke KAUNTER TENDER, Tingkat 2 Ibu Pejabat MARA bermula pada 13 Januari 2021 hingga 26 Januari 2021 jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang (Isnin hingga Jumaat). Pihak syarikat adalah diminta/dinasihatkan untuk mendapatkan kebenaran pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan rentas Negeri/Daerah untuk penghantaran dokumen Tender/Sebut Harga tersebut.

Sebagai alternatif, syarikat juga dibenarkan untuk menghantar dokumen tawaran Tender/Sebut Harga melalui pos berdaftar/kurier. Syarikat hendaklah memastikan dokumen tersebut selamat tiba pada alamat yang telah ditetapkan sebelum atau pada Tarikh Tutup Tender/Sebut Harga selewat-lewatnya pada pukul 12.00 tengah hari. Sebarang kelewatan yang timbul dalam urusan tersebut tidak akan dilayan. Dokumen Tender/Sebut Harga hendaklah dihantar ke alamat seperti berikut:-

PENGARAH

BAHAGIAN PENGURUSAN ASET & PEROLEHAN

TINGKAT 2 (KAUNTER TENDER) LOT 3.15, IBU PEJABAT MARA,

21, JALAN MARA, 50609 KUALA LUMPUR.

Bagi Sebut Harga yang dikeluarkan oleh Pusat MARA seperti Pejabat MARA Negeri (PMN), Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Kolej MARA (KM), Kolej Profesional MARA (KPM) dan sebagainya bagi negeri–negeri yang terlibat dengan PKP/PKPB/PKPP, calon–calon penyebut harga boleh berhubung dengan Pusat MARA yang berkaitan untuk maklumat selanjutnya.