i-MARATeCH 2026 ANGKAT KREATIVITI WARGA MARA KE ARAH INOVASI BERIMPAK

mara

KUALA LUMPUR, 15 Oktober 2026 – Pertandingan Inovasi i-MARATeCH dan Anugerah Inovasi MARA (AIM) 2026 yang berlangsung di Lobi Ibu Pejabat MARA pada 15 hingga 16 Oktober ini menghimpunkan pelbagai hasil inovasi warga MARA dan pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMA) merangkumi pembangunan produk, sistem serta teknologi yang berpotensi dimanfaatkan oleh masyarakat.

Pengisian program hari ini turut menampilkan sesi perkongsian berkaitan rantaian nilai inovasi dan pengkomersialan oleh Dr. Rahmat Shazi, diikuti perkongsian mengenai harta intelek bersama Pengurus Eksekutif Invenxer Sdn. Bhd., Puan Nursyuhada Mohd Shafawi bagi memberi pendedahan tentang potensi pengomersialan serta kepentingan perlindungan hasil inovasi.

YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki, Pengerusi MARA turut mengadakan sesi walkabout ke reruai pameran inovasi di Lobi Ibu Pejabat MARA hari ini bagi meninjau secara dekat hasil ciptaan dan penyelesaian kreatif yang diketengahkan sempena penganjuran i-MARATeCH 2026.

Sebanyak 216 penyertaan diterima bagi i-MARATeCH 2026 dengan 205 inovasi layak dipertandingkan. Daripada jumlah itu, 35 inovasi terbaik mara ke peringkat akhir, manakala 21 inovasi terpilih sebagai pemenang merangkumi tujuh kategori pertandingan melibatkan penyertaan warga MARA dan pelajar pelbagai institusi pendidikan MARA.

Antara inovasi yang dipamerkan ialah Al Guardian, hasil ciptaan pelajar MRSM Mersing yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (Al) bagi memantau keselamatan warga emas dan individu yang tinggal bersendirian.

Inovasi ini bakal mewakili Malaysia dalam pertandingan MILSET Expo-Sciences Europe 2026 di Mantua, Itali pada 18 hingga 23 Oktober ini sekali gus menyerlahkan potensi inovator muda MARA di pentas antarabangsa.

Sejak diperkenalkan pada 2016, pertandingan inovasi MARA terus menjadi platform mencungkil bakat dan menghasilkan inovasi berimpak tinggi. Inisiatif ini turut membuka ruang kepada pembangunan produk berpotensi untuk dikomersialkan serta dilindungi melalui pendaftaran harta intelek.

Menerusi penganjuran ini, MARA kekal komited memperkukuh ekosistem pendidikan dan inovasi dalam melahirkan modal insan Bumiputera yang kreatif, berkemahiran tinggi serta berupaya menghasilkan penyelesaian bernilai kepada masyarakat dan pembangunan negara.

Oleh: nn