KPTM SARAWAK BAKAL BUKA LEBIH LUAS PELUANG PENDIDIKAN TINGGI ANAK TEMPATAN
KOTA SAMARAHAN, 21 November 2026 – Peluang pendidikan tinggi yang lebih mudah diakses bakal memberi manfaat kepada anak-anak Sarawak, khususnya golongan Bumiputera dan masyarakat luar bandar, agar faktor lokasi, kekangan kewangan serta kekurangan maklumat tidak menjadi penghalang untuk mereka melanjutkan pengajian dan membina masa depan yang lebih baik.
Usaha ini diterjemahkan menerusi pembukaan Pejabat Urusan Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB) di Kota Samarahan sebagai langkah pertama ke arah cadangan penubuhan KPTM Sarawak. Pejabat tersebut berfungsi sebagai pusat maklumat peluang pengajian dan syarat kemasukan, selain menyelaras kajian pasaran, promosi pendidikan serta kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.
Majlis perasmian yang berlangsung di Pejabat Urusan KPTMSB, Kuching–Kota Samarahan Expressway, Sarawak itu disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Rubiah Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa pembangunan sesebuah wilayah bukan hanya bergantung kepada infrastruktur fizikal, sebaliknya turut ditentukan oleh kualiti modal insan. Justeru, peluasan akses pendidikan tinggi perlu bergerak seiring dengan keperluan sebenar masyarakat, industri dan pasaran pekerjaan.
Pembukaan pejabat urusan ini merupakan kesinambungan hasrat penubuhan KPTM Sarawak yang diumumkan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, dalam sidang media selepas mempengerusikan Taklimat Mesyuarat Khas Pelaksanaan Program/Projek Pembangunan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Kuching pada 30 Mei 2025.
Potensi pendidikan tinggi di Sarawak turut menunjukkan perkembangan positif apabila bilangan pelajar asal negeri itu di institusi kendalian KPTMSB meningkat daripada 119 orang pada 2022 kepada 279 orang pada 2025. Kajian awal juga mengenal pasti seramai 9,649 pelajar Tingkatan 5 di kawasan Kuching, Samarahan, Padawan dan Simunjan pada tahun 2026.
Bagi meringankan beban kewangan pelajar, pelbagai insentif khas turut diketengahkan menerusi Yayasan Sarawak, termasuk bantuan komputer riba bernilai RM3,000, bantuan tiket penerbangan RM300, bantuan buku RM300 serta bantuan kewangan khas RM1,200. KPTM dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) turut menawarkan pengecualian bayaran pendaftaran dan pengesahan berjumlah RM400 serta insentif tiket penerbangan RM300, tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan.
Sebagai persediaan awal, tiga program diploma dikenal pasti untuk pertimbangan iaitu Diploma in Human Resource Management, Diploma in Digital Business dan Diploma in Teaching English as a Second Language (TESL), selaras dengan keperluan tenaga kerja dan pembangunan ekonomi Sarawak.
Pembangunan KPTM Sarawak dicadangkan secara berfasa, bermula dengan pejabat urusan, diikuti kampus interim sebelum pembangunan kampus tetap yang dirancang berkapasiti sehingga 1,500 pelajar. Pelaksanaan fasa seterusnya serta penawaran program pengajian masih tertakluk kepada kajian daya maju dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Turut hadir, Encik Mohd Fakhzan Md Noor, Ahli Lembaga Pengarah KPTMSB, Encik Ahmad Abdul Razak, Pegawai Daerah Kota Samarahan, Dr. Wan Muhamad Adam Wan Norudin, Ahli Lembaga Pengarah KPTMSB dan Tuan Haji Radzuan Razali, Ketua Pegawai Eksekutif KPTMSB.
Pembukaan pejabat urusan ini diharap menjadi asas kepada ekosistem pendidikan tinggi yang lebih inklusif, menghubungkan peluang pendidikan dengan keperluan industri serta melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan profesional dalam kalangan anak Sarawak.
Oleh: Nurin MI


