MARA BUKA LEBIH BANYAK LALUAN PENDIDIKAN DAN KERJAYA BUAT BELIA MELAKA
JASIN, 3 November 2026 – Usaha membuka akses pendidikan tinggi dan latihan kemahiran kepada belia Melaka terus diperluas menerusi Program Jelajah Pendidikan Tinggi & TVET MARA Negeri Melaka 2026 yang menyasarkan penyertaan 3,500 belia merentasi empat kawasan Parlimen di negeri ini.
Program anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) sebagai penyelaras utama itu memberi tumpuan kepada lepasan sekolah dan belia berusia 18 hingga 20 tahun, khususnya mereka yang masih mencari laluan pengajian atau kerjaya bersesuaian dengan minat dan potensi diri.
Siri jelajah yang berlangsung hari ini di Dewan MPJ Alamanda, Jasin, merupakan penganjuran kali ke-222 secara keseluruhan dan telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. Program ini turut melibatkan kerjasama pelbagai institusi pendidikan MARA, agensi pendidikan serta rakan strategik di negeri Melaka.
Menerusi program seumpama ini, peserta berpeluang mendapatkan maklumat secara langsung mengenai syarat kemasukan, pilihan pengajian, pembiayaan dan penajaan pendidikan serta prospek kerjaya. Lebih 10 institusi pendidikan dan agensi MARA terlibat melalui pameran, sesi konsultasi dan perkongsian pengalaman alumni serta usahawan berjaya.
Dalam ucapan perasmiannya, YAB Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya laluan strategik yang menawarkan peluang kerjaya bernilai tinggi. Keperluan ini semakin penting seiring perkembangan teknologi, automasi, kecerdasan buatan (AI) dan pertumbuhan industri moden yang menuntut tenaga kerja berkemahiran serta berdaya saing.
Sementara itu, YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki, Pengerusi MARA, menekankan kepentingan menyediakan generasi muda Melaka dengan kemahiran yang memenuhi keperluan industri masa hadapan, khususnya dalam sektor semikonduktor, automotif, aeroangkasa dan teknologi digital. Beliau turut menggariskan peranan MARA bersama YPM dalam mendekati belia yang masih mencari hala tuju selepas persekolahan agar mereka tidak tercicir daripada peluang pendidikan dan kerjaya.
Seiring perkembangan sektor perindustrian, pembuatan, pelancongan dan hospitaliti di Melaka, inisiatif ini diharap dapat membantu melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan yang mampu memenuhi keperluan industri, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Usaha memperluas akses pendidikan ini akan diteruskan menerusi penganjuran program yang sama di Bentong, Pahang pada 4 November 2026. Sementara itu, siri jelajah di Melaka akan diteruskan ke Masjid Tanah pada 5 November, diikuti Alor Gajah dan Tangga Batu pada 11 November 2026, bagi memastikan peluang pendidikan dan bimbingan kerjaya dapat dinikmati oleh lebih ramai belia, termasuk masyarakat di luar kawasan bandar.
Oleh: Nurin MI


