MARA PERLUAS KERJASAMA TVET BERSAMA INDUSTRI AUTOMOTIF JEPUN
NAGOYA, JEPUN, 13 Oktober 2026 – Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memperluas peluang kerjaya antarabangsa kepada pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi kerjasama dengan industri automotif Jepun, khususnya dalam latihan dan pembangunan kemahiran berasaskan keperluan industri.
Usaha ini diteruskan menerusi penyertaan YBrs. Ir. Dr. Mahzan Teh, Ketua Pengarah MARA, dalam Entrance Ceremony of the First Batch of MARA-Aichi Daihatsu Apprenticeship Programme (Specified Skilled Worker – SSW) yang berlangsung di Nagoya Marriott Associa Hotel, Jepun, pada 13 Oktober 2026.
Majlis tersebut turut dihadiri Mr. Masahiro Inoue, Presiden Daihatsu Motor Co., Ltd., Mr. Takaaki Tsubouchi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Aichi Daihatsu Co., Ltd., serta YBrs. Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Turut hadir barisan pengurusan kanan syarikat automotif berkenaan, wakil Nagoya Automobile Malaysia dan OISCA International.
Kerjasama MARA-Aichi Daihatsu bermula pada 2016 dan telah memberi peluang kepada lebih 30 pelajar MARA menjalani latihan serta mendapat pendedahan kepada teknologi dan amalan kerja industri automotif Jepun.
Hubungan ini diteruskan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada 2024, diikuti pelaksanaan program SSW pada 2025.
Dalam ucapannya, Dr. Mahzan menyentuh potensi kerjasama ini untuk merangkumi bidang keusahawanan dan pelaburan, selaras dengan mandat MARA.
Antara peluang yang boleh diteroka termasuk pembangunan usahawan automotif, penyedia perkhidmatan teknikal dan vendor tempatan, selain pemindahan teknologi serta jaringan perniagaan antara Malaysia dengan Jepun.
Penglibatan JPK turut membuka rang untuk meneroka pengiktirafan dan pensetaraan kompetensi berdasarkan latihan serta pengalaman industri di Jepun.
Langkah ini berpotensi membantu peserta memanfaatkan kemahiran yang diperoleh untuk membina kerjaya dan menyumbang kepada industri automotif tempatan apabila kembali ke Malaysia.
Menjelang 2027, kerjasama MARA-OISCA bakal mencapai usia 60 tahun, manakala Malaysia dan Jepun akan menyambut 70 tahun hubungan diplomatik.
Jaringan yang terjalin dengan industri Jepun diharap dapat terus melahirkan tenaga kerja mahir serta membuka peluang baharu dalam pembangunan teknologi dan perniagaan bagi manfaat kedua-dua negara.
Oleh: shafiz hamzah



