WARISAN, KREATIVITI DAN CITA RASA SARAWAK TERUS MEWARNAI HARI KETIGA SHOWCASE
KUALA LUMPUR, 20 November 2026 – Warisan, kreativiti dan cita rasa Sarawak terus menjadi tarikan Sarawak Showcase 2026 apabila kepelbagaian produk tempatan membawa identiti Bumi Kenyalang lebih dekat kepada masyarakat Kuala Lumpur. Hari ketiga penganjuran hari ini memperlihatkan bagaimana keunikan yang berakar pada tradisi, kemahiran dan budaya tempatan turut diterjemahkan kepada produk bernilai komersial, sekaligus membuka peluang untuk dikenali di pasaran lebih luas.
Kepelbagaian tersebut turut ditinjau YBhg. Ir. Dr. Mahzan Teh, Ketua Pengarah MARA menerusi sesi walkabout di Medan MARA, yang menyaksikan pelbagai produk usahawan diketengahkan termasuk pelancaran corak batik baharu Benang Emas menerusi simbolik pemotongan reben. Turut menarik perhatian ialah demonstrasi pembuatan manik oleh BM Enterprise yang mengetengahkan seni kraftangan berasaskan manik serta tenunan tradisional dan moden kaum Iban.
Keunikan Sarawak turut hadir melalui cita rasa makanan yang membawa identiti tersendiri, daripada kek lapis Sarawak, popcorn berperisa gula apong, salted egg dan rumpai laut hingga sambal tahai dan sambal luba laya. Asajaya Cafeteria turut memperkenalkan Pes Mee Udang Instant menerusi pelancaran produk dan demonstrasi penyediaan hidangan, memperlihatkan usaha mengolah sajian tempatan dalam bentuk yang lebih praktikal untuk dinikmati pengguna. Produk-produk ini bukan sekadar membawa rasa dari Sarawak tetapi turut memperkenalkan keunikan bahan, resipi dan kreativiti pengusaha kepada pasaran baharu.
Di sebalik peluang jualan, platform yang disediakan MARA turut memberi ruang kepada usahawan untuk berhadapan secara langsung dengan pengguna, menguji penerimaan produk serta mendapatkan maklum balas mengenai harga dan pembungkusan. Hubungan yang dibina dengan bakal pembeli juga berpotensi membuka peluang tempahan susulan serta saluran pemasaran baharu, menjadikan penyertaan dalam showcase sebagai salah satu langkah untuk mengembangkan perniagaan melangkaui pasaran asal.
Sarawak Showcase 2026 yang berlangsung sehingga 22 November ini di Medan MARA bukan sekadar membawa produk dari Bumi Kenyalang ke Kuala Lumpur tetapi turut membuka ruang agar warisan dan kreativiti tempatan mendapat tempat dalam pasaran yang lebih luas.
Oleh: Fatin Nazirah Sobri


