π—Ÿπ—”π—‘π—šπ—žπ—”π—› π—§π—˜π—₯π—•π—œπ—Ÿπ—”π—‘π—š π— π—’π——π—”π—Ÿ π—œπ—‘π—¦π—”π—‘ π—•π—¨π— π—œπ—£π—¨π—§π—˜π—₯𝗔 π—žπ—˜ π—¨π—‘π—œπ—©π—˜π—₯π—¦π—œπ—§π—œ π—§π—˜π—₯π—•π—”π—œπ—ž π——π—¨π—‘π—œπ—”

mara

KUALA LUMPUR, 19 Ogos 2026- Pencapaian sektor pendidikan negara sekali lagi melakar sejarah membanggakan apabila Majlis Amanah Rakyat (MARA) secara rasmi melepaskan seramai 600 orang pelajar tajaan untuk melanjutkan pengajian peringkat tinggi ke luar negara bagi tahun 2026.

Pelajar-pelajar cemerlang ini bakal membawa nama Malaysia ke sembilan buah negara utama iaitu United Kingdom, Australia, Ireland, Kanada, Perancis, New Zealand, Korea Selatan, Mesir, dan China.

Paling signifikan tahun ini menyaksikan seramai 11 orang pelajar berjaya mendapat tempat di Imperial College London, United Kingdom, sebuah institusi berprestij tinggi yang kini berada pada kedudukan kedua terbaik di dunia mengikut QS World University Rankings 2026 manakala 40 pelajar menembusi kelompok 10 terbaik dunia dan 107 pelajar diterima di 20 universiti terkemuka dunia.

Dalam pada itu, seramai 78 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal menyambung pengajian perubatan di Mesir pada tahun ini. Kumpulan ini merupakan kohort pertama bagi penyambungan semula program berkenaan yang telah dihentikan sejak 2019.

Bertempat di Dewan Tun Dr. Ismail, World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur majlis perasmian Program Pra Pelepasan Tajaan MARA Ke Luar Negara Perdana 2026 ini telah disempurnakan oleh Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki bersama barisan kepimpinan tertinggi MARA.

Dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM2 bilion, penajaan MARA ditumpukan khusus kepada bidang pengajian kritikal berimpak tinggi seperti Kejuruteraan, Perubatan, Sains Data, Sains Komputer, Teknologi Maklumat, Kewangan, dan Ekonomi di bawah sasaran industri High Growth High Value (HGHV).

Langkah ini bertujuan melahirkan modal insan berprestasi tinggi yang bukan sahaja employable, tetapi menjadi pilihan utama industri dan pencipta nilai bagi pembangunan negara.

Pengerusi MARA turut mengingatkan para pelajar agar melihat pelaburan ini sebagai satu amanah rakyat yang perlu dibalas dengan kejayaan dan sumbangan. Selain memburu keputusan akademik yang cemerlang serta kemahiran masa depan seperti kecerdasan buatan (AI) dan penyelesaian masalah, para pelajar dituntut untuk sentiasa menjaga adab, akhlak, jati diri serta nama baik negara.

Selepas tamat pengajian kelak, mereka diharapkan pulang membawa kepakaran dan pengalaman untuk berbakti semula kepada tanah air.