𝗠𝗔π—₯𝗔 π—•π—œπ—‘π—” π—₯π—”π—‘π—§π—”π—œπ—”π—‘ π—•π—”π—žπ—”π—§ 𝗗𝗔π—₯π—œ π—¦π—˜π—žπ—’π—Ÿπ—”π—› π—žπ—˜ π—œπ—‘π——π—¨π—¦π—§π—₯π—œ

mara

BERA, 11 Jun 2026 – Pelajar MRSM ATM Bera hari ini didedahkan kepada pelbagai laluan pembangunan bakat yang disediakan MARA bagi memastikan kecemerlangan akademik dapat diterjemahkan kepada peluang pendidikan tinggi dan kerjaya dalam industri strategik negara.

Pendekatan menyeluruh ini memberi peluang kepada pelajar merancang hala tuju masa depan secara lebih jelas, bermula dari alam persekolahan hingga memasuki dunia pekerjaan.

Mesej tersebut dikongsikan dalam Sesi Libat Urus Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman bersama warga MRSM ATM Bera yang berlangsung hari ini.

Sesi berkenaan turut memperincikan pelbagai peluang penajaan dan pembangunan bakat MARA termasuk Biasiswa Perdana, Young Talent Development Programme (YTP), Fast Track & Special Track yang membuka laluan kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian di institusi pendidikan terkemuka dalam dan luar negara.

Turut diketengahkan ialah inisiatif MARA Education Sponsorship Hybrid (MESH) serta Program Perantisan MARA yang menghubungkan pendidikan dengan keperluan industri melalui kerjasama strategik bersama pelbagai rakan industri.

Dalam masa yang sama, Ketua Pengarah MARA turut meletakkan cabaran baharu kepada pengurusan MRSM ATM Bera untuk mencapai sasaran GPM 1.300 dalam SPM 2026.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan yang diraih hari ini bukanlah noktah penamat, sebaliknya menjadi penanda aras baharu yang memerlukan komitmen lebih tinggi, disiplin kerja berpasukan serta budaya kecemerlangan yang berterusan dalam kalangan warga pendidik dan pelajar.

Oleh: hamli