𝟱𝟬 π—¦π—˜π—¦π—œ 𝗣𝗔𝗗𝗔𝗑𝗔𝗑 π—£π—˜π—₯π—‘π—œπ—”π—šπ—”π—”π—‘ π—§π—˜π—₯π—’π—žπ—” π—£π—˜π—Ÿπ—¨π—”π—‘π—š π—£π—˜π—Ÿπ—”π—•π—¨π—₯𝗔𝗑 𝗗𝗔𝗑 π—£π—˜π— π—œπ—‘π——π—”π—›π—”π—‘ π—§π—˜π—žπ—‘π—’π—Ÿπ—’π—šπ—œ 𝗨𝗦𝗔𝗛𝗔π—ͺ𝗔𝗑 𝗠𝗔π—₯𝗔 π——π—œ π—žπ—’π—₯π—˜π—” π—¦π—˜π—Ÿπ—”π—§π—”π—‘

mara

SEOUL, 1 Julai 2026 – Lima syarikat teknologi di bawah Program Gate to Global (GTG) High Growth High Value (HGHV) MARA meneroka peluang pelaburan, pemindahan teknologi dan kerjasama strategik menerusi kira-kira 50 sesi padanan perniagaan (B2B) bersama 10 syarikat teknologi Korea Selatan sempena Program Market Immersion Korea Selatan yang berlangsung di Ibis Ambassador Myeongdong, Seoul.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama MATRADE Seoul itu menjadi platform bagi memperluaskan akses usahawan Bumiputera kepada teknologi terkini, perkongsian kepakaran industri serta peluang kerjasama rentas sempadan yang mampu meningkatkan daya saing syarikat tempatan di peringkat antarabangsa.

Lima syarikat yang mewakili Malaysia dalam program ini ialah SS Rover Sdn Bhd, AL Pine Utility Services Sdn Bhd, Enygma Technologies Sdn Bhd, Xcel Itech Sdn Bhd dan PZK Sdn Bhd.

Sepanjang program berlangsung, peserta berpeluang mengadakan sesi perbincangan perniagaan bersama syarikat teknologi Korea Selatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang kecerdasan buatan (AI), robotik, digital twin, sistem maklumat geografi (GIS), teknologi dron, pemprosesan imej dan teknologi alam sekitar.

Antara syarikat yang terlibat ialah EGIS Co., Ltd., Angelswing Inc., Customs Uni-Pass International Agency (CUPIA), Doosan Robotics, NanoEcoTech Co., Ltd., Ko-Mapper Co., Ltd., KnowWhere Bridge Co., Ltd., Quram Co., Ltd., Eunsung O&C Co., Ltd. dan Woowon Development Co., Ltd.

Selain sesi padanan perniagaan, delegasi turut mengadakan lawatan industri ke Ko-Mapper Co., Ltd. bagi meninjau teknologi pemeriksaan keselamatan infrastruktur berasaskan AI yang dibangunkan syarikat tersebut.

Lawatan ini memberi pendedahan secara langsung kepada amalan dan inovasi teknologi yang digunakan di Korea Selatan, di samping membuka ruang penerokaan kerjasama dalam aspek pelaburan, pemindahan teknologi serta pembangunan penyelesaian yang boleh dimanfaatkan oleh industri di Malaysia.

Program Market Immersion Korea Selatan merupakan sebahagian daripada usaha MARA memperluas jaringan global usahawan GTG HGHV melalui pemadanan perniagaan strategik, akses kepada teknologi bernilai tinggi dan peluang pelaburan antarabangsa.

Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen MARA sempena Sambutan 60 Tahun MARA untuk melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera berprestasi tinggi yang mampu bersaing dan berkembang dalam ekosistem perniagaan global.

Oleh: shafiz hamzah