𝗝𝗘𝗟𝗔𝗝𝗔𝗛 𝗣𝗘𝗡𝗗𝗜𝗗𝗜𝗞𝗔𝗡 𝗠𝗔𝗥𝗔 𝗧𝗔𝗠𝗣𝗜𝗟 𝗣𝗘𝗟𝗨𝗔𝗡𝗚 𝗣𝗘𝗡𝗗𝗜𝗗𝗜𝗞𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗡 𝗧𝗩𝗘𝗧

mara

BAHAU, 27 Julai 2026 – Memilih laluan pendidikan selepas tamat persekolahan merupakan antara keputusan paling penting dalam menentukan masa depan seseorang.

Atas sebab itu, MARA menganjurkan Program Jelajah Pendidikan Tinggi & TVET MARA Negeri Sembilan 2026 bagi membawa peluang pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan kerjaya lebih dekat kepada belia di seluruh negeri.

Program yang disempurnakan oleh Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki itu menyasarkan penyertaan 6,000 belia, khususnya lepasan SPM, STPM, SVM, kolej vokasional dan kolej komuniti.

Sepanjang jelajah ini, peserta berpeluang mendapatkan maklumat secara terus mengenai peluang pengajian di institusi Pendidikan Tinggi dan TVET MARA, syarat kemasukan, penajaan pendidikan serta laluan kerjaya yang ditawarkan.

Pelbagai pengisian turut disediakan termasuk perkongsian kejayaan usahawan dan alumni MARA, pameran institusi pendidikan, sesi konsultasi kemasukan serta kaunter pembiayaan bagi membantu belia membuat pilihan yang lebih yakin dan tepat.

Melalui inisiatif ini, MARA berharap lebih ramai belia memilih Pendidikan Tinggi dan TVET sebagai laluan membina kerjaya, sekali gus melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Oleh: Hamli