DARI BUMI KENYALANG KE PASARAN LEBIH LUAS, USAHAWAN MARA SARAWAK PAMER KEUNIKAN PRODUK DAN WARISAN

mara

KUALA LUMPUR, 18 November 2026 – Sarawak Showcase 2026 membuka tirainya hari ini di Medan MARA, Kuala Lumpur, dengan menghimpunkan 34 usahawan Bumiputera Sarawak bagi memperkenalkan kepelbagaian produk dan jenama tempatan kepada pengguna di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Berlangsung selama lima hari sehingga 22 November ini, showcase anjuran MARA Negeri Sarawak dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelabuhan Sarawak (MINTRED), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak serta Style Food Fest itu diserikan dengan sesi walkabout YBhg. Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki, Pengerusi MARA yang berkesempatan meninjau reruai usahawan serta melihat sendiri kepelbagaian produk yang diketengahkan.

Menariknya, keunikan Sarawak tidak hanya dipersembahkan melalui produk jualan. Demonstrasi memasak Bubur Pedas, masakan ikonik Sarawak oleh YBrs. Puan Ajar @ Siti Ajar Yasin, Ahli Majlis MARA turut menjadi antara pengisian hari pertama. Sajian tradisional ini membawa pengunjung mengenali sebahagian daripada kekayaan kulinari Bumi Kenyalang, sekaligus memperlihatkan bahawa warisan tempatan juga mempunyai nilai yang boleh diketengahkan melalui platform pemasaran.

Mengangkat tagline “Segulai Sejalai, Berami Kita, Nang Antap!”, Sarawak Showcase 2026 turut mengetengahkan kepelbagaian makanan dan minuman, kraftangan, fesyen serta produk berasaskan sumber tempatan. Kesinambungan penganjuran ini turut bersandarkan kejayaan edisi 2025 yang merekodkan kehadiran 38,000 pengunjung dan jualan terkumpul sebanyak RM7.6 juta.

Melangkaui peluang jualan langsung, Sarawak Showcase 2026 turut membuka ruang kepada usahawan mendapatkan maklum balas pasaran, membina jaringan strategik serta meneroka kerjasama dengan bakal pembeli, ejen dan pengedar. Orang ramai dijemput mengunjungi Medan MARA sehingga 22 November ini bagi menyokong usahawan Bumiputera Sarawak dan menikmati keunikan produk serta budaya Bumi Kenyalang.

Oleh: Fatin Nazirah Sobri