EMPAT DEKAD MELAKAR KECEMERLANGAN MRSM MUAR
MUAR, 17 Oktober 2026 – Seramai 155 pelajar Tingkatan 5 diraikan dalam Majlis Graduasi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muar Kali Ke-40 yang berlangsung di Dewan Dato’ Onn, MRSM Muar, Johor, hari ini.
Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Idris Zaharudin, Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang juga merupakan alumni MRSM Muar.
Kepulangan beliau ke alma mater membawa mesej bermakna mengenai kepentingan membina kejayaan berteraskan ilmu, integriti dan amanah.
Dalam ucapannya, beliau mengingatkan para graduan supaya memberikan tumpuan kepada persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di samping meneroka pelbagai laluan pendidikan dan penajaan MARA sebagai persediaan melangkah ke peringkat pengajian lebih tinggi.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Sijil Graduasi kepada 155 pelajar, Sijil Anugerah Penghormatan Pengetua kepada 33 penerima serta pengiktirafan keemerlangan dalam bidang akademik, STEM dan kokurikulum termasuk Anugerah Emas Tokoh Pelajar.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja menghargai pencapaian para pelajar malah mencerminkan komitmen MRSM Muar dalam membentuk generasi berdaya saing, berakhlak dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negara.
Oleh: nn



