𝗨𝗦𝗔𝗛𝗔𝗪𝗔𝗡 𝗕𝗨𝗠𝗜𝗣𝗨𝗧𝗘𝗥𝗔 𝗗𝗜𝗦𝗘𝗥𝗨 𝗞𝗨𝗔𝗦𝗔𝗜 𝗗𝗜𝗚𝗜𝗧𝗔𝗟 𝗗𝗔𝗡 𝗧𝗘𝗥𝗢𝗞𝗔 𝗣𝗔𝗦𝗔𝗥𝗔𝗡 𝗚𝗟𝗢𝗕𝗔𝗟

mara

Melaka, 20 Mei 2026 – Usahawan Bumiputera diseru agar lebih berani melakukan perubahan dan pantas menyesuaikan diri dengan perkembangan ekonomi semasa khususnya dalam aspek pendigitalan, pengembangan pasaran serta penerokaan bidang-bidang baharu yang menjadi pemacu ekonomi masa hadapan negara.

Timbalan Ketua Pengarah MARA, Encik Zahari Aziz berkata kelangsungan sesebuah perniagaan bergantung kepada dua faktor utama iaitu kemampuan meningkatkan jualan serta keupayaan mengawal kos operasi secara berkesan.

“Bottom line sesebuah perniagaan bergantung kepada bagaimana usahawan mampu meningkatkan jualan dan pada masa yang sama bijak berjimat.

Dalam keadaan ekonomi yang semakin kompetitif, usahawan perlu bijak menyusun strategi perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam program Bual Bicara Kepimpinan & Agenda Keusahawanan yang berlangsung di Melaka hari ini.

Beliau menggalakkan usahawan memanfaatkan pelbagai inisiatif bantuan yang disediakan oleh kerajaan termasuk Sustainable Relief Fund yang dibuka sehingga 31 Disember 2026 bagi membantu memastikan kesinambungan dan daya tahan perniagaan usahawan tempatan.

Menurut beliau, usahawan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembiayaan, latihan serta inisiatif pembangunan perniagaan boleh hadir terus ke Pejabat MARA Negeri dan Pejabat MARA Daerah berhampiran.

“Kami di sini untuk membantu. Usahawan juga adalah sebahagian daripada keluarga MARA, tiada anda, tiadalah MARA,” katanya.

Mengulas lanjut cabaran penglibatan usahawan Melayu, beliau berkata perubahan minda dan kesediaan untuk melibatkan diri dalam ekosistem digital amat penting bagi memastikan usahawan Bumiputera terus relevan dan berdaya saing.

“Industri sudah bergerak pantas. Dalam tempoh lima tahun akan datang, MARA akan memberi fokus kepada bidang pendigitalan, High Growth High Value (HGHV) yang difokuskan dalam agenda Putera35, renewable energy serta pelbagai sektor baharu yang mempunyai potensi besar.”

Selain memperkukuh pasaran tempatan, MARA juga komited membawa produk dan perkhidmatan usahawan Bumiputera menembusi pasaran antarabangsa menerusi program khas Gate to Global.

Dalam perkembangan sama, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) turut disaran memainkan peranan lebih aktif sebagai suara kepada komuniti usahawan dengan memperjuangkan keperluan tambahan peruntukan bagi memastikan MARA terus mendapat sokongan kukuh dalam penyaluran bantuan dan pembangunan usahawan.

Beliau turut menyeru lebih ramai usahawan menyertai DPMM agar setiap isu, cabaran dan keperluan komuniti perniagaan Bumiputera dapat didengar serta diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak berkepentingan.

“Usahawan perlu bersatu dan mempunyai platform yang kuat untuk menyuarakan pandangan serta mendapatkan sokongan demi memperkukuh ekosistem ekonomi Bumiputera,” katanya.

Oleh: hamli