LITERASI KEWANGAN DAN PEMBANGUNAN BAKAT PACU POTENSI EKONOMI BUMIPUTERA
KUALA LUMPUR, 28 OKTOBER 2026 – Pengetahuan mengenai pengurusan kewangan, strategi pelaburan dan pengurusan risiko penting bagi membantu usahawan membuat keputusan perniagaan yang lebih berkesan. Penguasaan aspek ini, disokong pembangunan bakat dan kemahiran, mampu membuka peluang pertumbuhan perniagaan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi Bumiputera.
Kepentingan perkara ini menjadi fokus program Pocket Talk bertemakan “Pelaburan, Kewangan dan Pembangunan Bakat: Membina Nilai, Mengurus Risiko dan Mencipta Masa Depan” anjuran Institut Kajian Ekonomi Bumiputera (IKEB), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di Dewan Nilam, UPTM, hari ini.
Program ini menampilkan Dr. Azmi Amat Murjan, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) MARA merangkap Profesor Adjung Fakulti Perniagaan dan Perakaunan UPTM, sebagai panel forum bagi berkongsi pandangan berkaitan pelaburan, pengurusan kewangan dan pembangunan bakat.
Perbincangan turut memberi ruang kepada peserta untuk mendalami strategi pengurusan sumber kewangan, penilaian risiko pelaburan dan keperluan kemahiran industri.
Perkongsian ini penting dalam membantu peserta memahami cabaran ekonomi semasa serta mengenal pasti pendekatan yang bersesuaian untuk mengurus dan mengembangkan perniagaan.
Program yang menghimpunkan wakil agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), pensyarah, pelajar dan alumni UPTM, rakan kolaborasi industri serta usahawan di bawah Bahagian Pembangunan Usahawan MARA itu menjadi ruang perkongsian ilmu dan pertukaran pandangan berkaitan pengurusan kewangan, pelaburan serta pembangunan bakat.
Perbincangan ini turut memberi pendedahan kepada peserta tentang kepentingan membuat keputusan kewangan secara berhemah, mengurus risiko perniagaan dan mengenal pasti peluang untuk mengembangkan usaha niaga.
Oleh: shafiz hamzah



