MARA CIPTA PENANDA ARAS BAHARU DI PENTAS WORLDSKILLS SHANGHAI 2026
KUALA LUMPUR, 2 Oktober 2026 – Di sebalik ketepatan setiap ukuran, penguasaan teknologi dan tekanan persaingan bertaraf dunia, tersimpan ribuan jam latihan serta pengorbanan untuk membawa nama Malaysia ke pentas tertinggi kemahiran global.
Perjuangan tersebut diraikan menerusi Majlis Apresiasi WorldSkills Shanghai
2026: Menghargai Perjuangan, Meraikan Kecemerlangan yang disempurnakan oleh YBhg. Ir. Dr. Mahzan Teh, Ketua Pengarah MARA di Ibu Pejabat MARA hari ini. Majlis menjadi simbol penghargaan kepada peserta, jurulatih dan pakar negara yang telah menggalas cabaran membawa aspirasi MARA dan negara ke persada antarabangsa.
WorldSkills Shanghai 2026 mencatat sejarah tersendiri buat MARA apabila sembilan peserta, lapan jurulatih dan tujuh pakar negara membentuk kontinjen terbesar MARA sepanjang penyertaannya dalam kejohanan tersebut. Mereka membawa kepakaran merentas bidang masa hadapan antaranya Digital Construction, Electronics, Rail Vehicle Technology, Cyber
Security, Car Painting dan lain-lain.
Pencapaian enam Medal for Excellence menjadi lebih signifikan apabila lima daripada sembilan peserta MARA menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik dunia. Lebih membanggakan, tiga daripada lima peserta berkenaan merupakan pelajar TVETMARA dan setiap peserta TVETMARA yang meraih Medal for Excellence turut berada dalam kelompok lapan terbaik bidang masing-masing.
Kejayaan di Shanghai bukan tercipta dalam satu pertandingan. la merupakan kesinambungan pembangunan bakat yang diuji secara progresif dari pentas ASEAN ke Asia sebelum berhadapan standard dunia. Pada WorldSkills ASEAN Manila 2025, Malaysia muncul johan keseluruhan dengan 13 pingat emas sebelum mencatat pencapaian terbaik negara di WorldSkills Asia Taipei 2025 dengan kedudukan ketiga keseluruhan.
Lebih daripada sebuah pencapaian pertandingan, pengalaman di Shanghai membawa pulang standard, kepakaran dan penanda aras global yang mampu diterjemahkan semula ke dalam ekosistem TVET MARA.
Perkongsian pengalaman peserta, jurulatih dan pakar negara berupaya memperkukuh pembangunan generasi pelapis serta memastikan TVETMARA, GIATMARA dan UniKL terus responsif terhadap perubahan teknologi, industri dan ekonomi masa hadapan.
Shanghai bukan noktah sebuah perjuangan. la penanda aras baharu MARA dalam melahirkan bakat berkemahiran tinggi yang bukan sahaja bersedia memasuki industri, tetapi berupaya menguasai teknologi, mencipta nilai dan memimpin perubahan.
Oleh: s



