MARA DTEC PACU TRANSFORMASI TVET, BUKA LALUAN KEUSAHAWANAN DALAM SEKTOR KESIHATAN
LEDANG, 21 OKTOBER 2026 – MARA memperkenalkan dimensi baharu pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) menerusi MARA Dialysis Technical Excellence Center (MARA DTEC) di TVETMARA Ledang, Johor, yang menggabungkan latihan dalam persekitaran operasi sebenar dengan penyediaan perkhidmatan hemodialisis kepada masyarakat.
Peluncuran oleh YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki, Pengerusi MARA, hari ini menandakan pelaksanaan model Real Teaching Factory yang melangkaui pembelajaran berasaskan simulasi. Melalui pendekatan ini, fasiliti hemodialisis berfungsi sebagai pusat rawatan dan medan latihan bagi membangunkan kompetensi tenaga kerja selaras dengan keperluan industri kesihatan.
Mula beroperasi pada 17 Ogos 2026, MARA DTEC berkeluasan 3,409 kaki persegi dan mempunyai kapasiti maksimum 14 mesin hemodialisis. Sebanyak enam mesin beroperasi pada fasa pertama dengan sokongan dua jururawat berkelayakan post-basic bagi setiap syif.
Penerimaan pesakit sejak awal operasi menunjukkan pusat ini telah mula memberi manfaat kepada komuniti sebelum peluncuran rasminya.
Dalam persekitaran operasi sebenar, pelajar dan tenaga pengajar berpeluang memperoleh pendedahan kepada aspek teknikal peralatan hemodialisis, termasuk penyelenggaraan, pengesanan kerosakan, pengujian dan jaminan kualiti, tertakluk pada kompetensi serta keperluan keselamatan klinikal.
Pendekatan ini memperkukuh kemahiran teknikal melalui pengalaman langsung dan pendedahan kepada standard operasi industri.
Pembangunan MARA DTEC direalisasikan melalui kerjasama strategik TVETMARA Ledang bersama Foresight Industries Sdn. Bhd. dan Gedung Penawar Sdn. Bhd., dengan pelaburan industri kira-kira RM1.5 juta merangkumi peralatan dialisis, fasiliti latihan serta pemindahan kepakaran.
Dalam ucapannya, Pengerusi MARA turut menggariskan potensi MARA DTEC untuk menyokong pembangunan keusahawanan Bumiputera dalam sektor kesihatan. MARA merancang mewujudkan program khas keusahawanan dialisis dan meneroka pembangunan rangkaian pusat dialisis di bawah satu jenama, dengan identiti, standard perkhidmatan dan model operasi yang
tersusun.
Perancangan ini berpotensi membuka ruang kepada usahawan Bumiputera untuk menceburi industri perkhidmatan kesihatan melalui sokongan pembangunan kompetensi, bimbingan perniagaan dan kerjasama industri.
Pengembangan rangkaian tersebut juga berupaya mewujudkan peluang pekerjaan serta memperluas akses masyarakat kepada perkhidmatan dialisis,tertakluk pada keperluan kawal selia dan piawaian kesihatan yang berkuat kuasa.
Inisiatif ini turut melengkapi rangkaian perkhidmatan kesihatan MARA yang kini merangkumi 168 cawangan klinik, farmasi dan pergigian di seluruh negara. Perancangan pembangunan U.N.I Dialysis Centre pula mencerminkan usaha MARA meneroka peluasan perkhidmatan dialisis secara lebih menyeluruh.
Majlis turut menyaksikan penyerahan Letter of Intent (Lol) kepada lima Syarikat yang menjadi rakan strategik, iaitu GE Healthcare San. Bhd., Quantum Medical Solution Sdn. Bhd., Medivest Sdn. Bhd., ST Microelectronics Sdn. Bhd. dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIN), bagi meneroka kerjasama dalam pembangunan kompetensi, pemindahan teknologi, latihan industri serta peluang kerjaya.
Seiring aspirasi National Biomedical & Smart Health Excellence Hub (NBioSH Hub) 2025-2035, pembangunan MARA DTEC turut menyokong perancangan jangka panjang MARA dalam bidang teknologi kesihatan, termasuk aspirasi pembangunan Hospital MARA pada masa hadapan.
Menerusi model yang menghubungkan TVET, operasi klinikal dan kerjasama industri, MARA DTEC berpotensi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta membuka laluan kepada penglibatan usahawan Bumiputera dalam sektor kesihatan.
Oleh: nn



