MARA PACU KERJASAMA MALAYSIA – TURKI MELALUI PEMBANGUNAN MODAL INSAN DALAM INDUSTRI STRATEGIK
ANKARA, TURKIYE, 20 OKTOBER 2026 – Meneruskan mandat Kerajaan Persekutuan berikutan Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama Malaysia-Turkiye pada April lalu, Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengorak langkah strategik menerusi kolaborasi bersama Universiti terkemuka di Turkiye.
Langkah ini bertujuan memperkukuh jaringan pendidikan global serta memperkasakan agenda pembangunan modal insan negara menerusi kolaborasi strategik bersama universiti-universiti terkemuka di Turkiye.
Siri perbincangan strategik dimulakan menerusi perjumpaan delegasi MARA yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA bersama Tuan Yang Terutama (TYT) Adlan Mohd Shaffieg, Duta Besar Malaysia ke Turkiye. TYT Duta menyambut baik inisiatif MARA ini terutamanya cadangan penerokaan bidang keutamaan tinggi-khususnya Aeroangkasa dan Teknologi Perkapalan-bersama universiti-universiti terkemuka dan pemain industri.
Agenda diteruskan menerusi sesi libat urus komprehensif bersama dua institusi pengajian tinggi terkemuka, Ankara Yildirim Beyazit University (AYBU) dan Middle East Technical University (METU). Hasil perbincangan ini membuka pelbagai pintu kolaborasi strategik, merangkumi program mobiliti pelajar bersama Institusi Pendidikan MARA (IPMA), pertukaran pensyarah (visiting scholar), penyelidikan bersama, serta program artikulasi berkembar.
Malah, ruang latihan industri (on-job training) turut terbuka luas di Technology Park milik institusi-institusi berkenaan.
Melengkapkan misi ini, perjumpaan bersama pengurusan tertinggi YTB Turkiye membuka dimensi baharu penajaan biasiswa-daripada biasiswa penuh Kerajaan Turkiye hinggalah kepada penajaan bersama (co-sponsorship) dengan MARA bagi pelajar Malaysia, berserta akses penempatan kerja di industri tempatan.
Melalui penyatuan tiga institusi utama ini, MARA membuktikan komitmennya untuk bukan sekadar memberi pendidikan, malah membuka laluan kerjaya antarabangsa dan melahirkan tenaga pakar serba boleh demi kemajuan negara.
Oleh: nn


