NISMILAN SHOWCASE 2026 PERKASA JENAMA USAHAWAN, ANGKAT WARISAN NEGERI SEMBILAN
KUALA LUMPUR, 1 OKTOBER 2026 – Nismilan Showcase 2026 menjadi platform strategik dalam memperkasa jenama usahawan Negeri Sembilan, memperluas capaian produk tempatan kepada pengguna serta mengangkat keunikan makanan dan warisan negeri itu.
YBng. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki, Pengerusi MARA turun padang meninjau penyertaan usahawan Negeri Sembilan pada hari pertama Nismilan Showcase 2026 yang berlangsung di Medan MARA, semalam.
Menerusi sesi walkabout tersebut, beliau turut berinteraksi dengan usahawan bagi mendapatkan gambaran mengenai produk dan jenama yang diketengahkan, selain menyempurnakan pelancaran produk baharu BioFitrah (M) Sdn. Bhd. yang diperkenalkan sempena program berkenaan.
Kehadiran Pengerusi MARA turut memberi peluang kepada usahawan memperkenalkan produk dan jenama mereka secara langsung, di samping memperlihatkan peranan MARA dalam menyediakan platform promosi yang menghubungkan usahawan dengan pengguna dan pasaran.
Berlangsung dari 30 September hingga 3 Oktober 2026, Nismilan Showcase 2026 menghimpunkan 74 usahawan, membabitkan 34 usahawan Negeri Sembilan dan 40 usahawan makanan serta minuman menerusi kolaborasi julung kali dengan Big Food Festival.
Penganjuran itu turut mengetengahkan identiti dan warisan Negeri Sembilan menerusi kepelbagaian produk tempatan, makanan tradisional dan pengisian berasaskan budaya negeri, sekaligus menyokong promosi Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
Pada hari pertama, tema “Makanan Signature Negeri Sembilan” diketengahkan menerusi pelbagai pengisian yang menampilkan keunikan sajian tradisional negeri, termasuk demonstrasi masakan, Sambal Challenge serta Pertandingan Ghaso dan Monang.
Selain menjadi ruang promosi dan jualan, Nismilan Showcase 2026 memberi peluang kepada usahawan untuk berinteraksi secara langsung dengan pengguna serta memperkenalkan produk kepada kelompok pasaran yang lebih luas.
Dalam masa sama, pengunjung berpeluang mengenali, mencuba dan mendapatkan produk tempatan sambil menikmati kepelbagaian makanan yang mencerminkan identiti serta warisan Negeri Sembilan.
Oleh: fn



