TUJUH DEKLARASI KUB2035: PACU AGENDA EKONOMI BUMIPUTERA KE ARAH PENGUASAAN
ALOR SETAR, 27 Ogos 2026 – Agenda pembangunan ekonomi Bumiputera melangkah ke fasa baharu melalui Tujuh Deklarasi Konvensyen Usahawan Bumiputera 2035 (KUB2035), sebuah hala tuju dasar yang dirangka bagi mempercepat peralihan strategik matlamat 3P daripada sekadar Penyertaan kepada Pemilikan, dan seterusnya Penguasaan yang berimpak tinggi dalam ekonomi negara.
Inisiatif ini dimuktamadkan sebagai peneraju utama ekosistem keusahawanan Bumiputera.
Rumusan dan dapatan KUB2035, termasuk Tujuh Deklarasi berkenaan, dibentangkan oleh YBhg. Dato’ Seri Zulfikri bin Osman, Ketua Pengarah MARA, sebelum dimuktamadkan secara rasmi oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, menerusi Ucaptama Penggulungan.
Tujuh Deklarasi KUB2035 yang dimuktamadkan adalah seperti berikut:
1. Mewujudkan Platform Ekosistem Usahawan Bumiputera Bersepadu sebagai pusat sehenti yang menghubungkan usahawan dengan maklumat, pembiayaan, rantaian bekalan, peluang perolehan, GLC, GLIC, MNC dan jaringan pasaran domestik mahupun antarabangsa.
2. Memperkasa 5,000 Usahawan Wanita Bumiputera dalam sektor teknologi, inovasi dan bernilai tinggi melalui sokongan pembiayaan, pembangunan kapasiti dan akses pasaran global.
3. Melahirkan sekurang-kurangnya 10 “Bumiputera Champions” yang mempunyai keupayaan, skala dan daya saing untuk bertapak secara mampan di pasaran terbuka serantau serta global tanpa bergantung kepada kontrak kerajaan.
4. Menginstitusikan Pendekatan “Malaysia First!” dalam ekosistem perolehan GLC, GLIC dan MNC dengan mengutamakan kandungan tempatan, perkhidmatan domestik dan tenaga kerja tempatan berkelayakan.
5. Melonjakkan 1,500 sahawan Bumiputera ke Pasaran Eksport dengan sokongan insentif, pembiayaan eksport, pensijilan antarabangsa dan fasilitasi perdagangan bagi menjana jualan eksport yang sebenar.
6. Memperkukuh Integriti dan Tatakelola Perolehan secara telus dan berakauntabiliti bagi membendung ketirisan, manipulasi, konflik kepentingan serta amalan “Ali Baba” supaya manfaat sampai kepada usahawan yang berhak.
7. Memperkemas Sinergi Melalui Sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Dalam Pelaksanaan PuTERA35 dengan menjadikan pencapaian agenda Bumiputera sebahagian daripada KPI rasmi Menteri dan Ketua Agensi.
Majlis turut menyaksikan penyerahan simbolik Tujuh Deklarasi KUB2035 oleh Ketua Pengarah MARA kepada YAB Timbalan Perdana Menteri, sebagai tanda komitmen padu seluruh ekosistem keusahawanan Bumiputera terhadap pelaksanaan agenda ini.
Sebagai sebahagian daripada program, sebanyak 21 reruai pameran usahawan turut dipamerkan sepanjang konvensyen ini. YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi turut menyempurnakan sesi lawatan (walkabout) ke sebahagian daripada reruai berkenaan, bagi melihat dari dekat potensi dan inovasi usahawan tempatan.
KUB2035 dilihat sebagai penanda aras baharu dalam pembangunan ekonomi Bumiputera, dengan sasaran memacu penguasaan berimpak tinggi dalam ekonomi negara serta di persada antarabangsa menjelang 2035.
Oleh: shafiz hamzah


