PROGRAM SELANGKAH KE UNIVERSITI BUKA LALUAN MASA DEPAN PELAJAR

mara

LUNDU, 3 Oktober 2026- Selangkah hari ini membuka lebih banyak pilihan untuk masa depan. Seramai 350 pelajar Tingkatan 5 daripada SMK Senibong, SMK Lundu dan SMK Sematan menyertai Program Selangkah Ke Universiti (SKU) 2026 di Dewan Masyarakat Lundu bagi mendapatkan pendedahan lebih dekat mengenai hala tuju pendidikan selepas SPM.

Anjuran Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dengan kerjasama SMK Senibong serta tajaan RHB Islamic Bank Berhad, program ini membuka ruang kepada pelajar meneroka peluang pengajian, memahami syarat dan kelayakan kemasukan serta mengenali pilihan pendidikan yang bersesuaian dengan minat dan potensi masing-masing.

Melalui kerjasama MARA, pelajar turut didedahkan kepada peluang pengajian di Institusi Pendidikan MARA (IPMA) menerusi taklimat dan pameran pendidikan.

Membawa maklumat pendidikan lebih dekat kepada pelajar, program ini diisi dengan ceramah motivasi, taklimat institusi pengajian tinggi serta pameran melibatkan 19 institusi pendidikan dan agensi. Antaranya UniKL, KPTM, TVET MARA Kuching, UiTM, UNIMAS, UTS, UNITAR, Swinburne College, STIDC, Sarawak Skills, Kolej Cyberjaya Kuching, MSU, Yayasan Sarawak, CENTEXS, SEGi College, FAME College, Kuching Skills College dan Technology College Sarawak (TCS) selain RHB Islamic Bank Berhad selaku penaja.

Disempurnakan oleh Ahli Majlis MARA, YBhg. Puan Siti Ajar Yasin, program ini mencerminkan komitmen berterusan YPM bersama rakan strategik dalam memperluas akses kepada maklumat dan peluang pendidikan khususnya kepada pelajar di kawasan luar bandar.

RHB Islamic Bank Berhad turut menyokong pelaksanaan program menerusi tajaan berjumlah RM20,250.

Lebih daripada sekadar mengetahui destinasi selepas SPM, pendedahan awal memberi peluang kepada pelajar untuk memahami pilihan, mengenali potensi diri dan membuat persediaan dengan lebih terarah.

Melalui Program Selangkah Ke Universiti, YPM bersama MARA dan rakan strategik terus mendekatkan peluang pendidikan kepada generasi muda agar setiap langkah yang dirancang hari ini mampu membawa mereka lebih dekat kepada cita-cita pada masa hadapan.

Oleh: nh