TVETMARA KUCHING LAHIRKAN TENAGA MAHIR, PACU POTENSI EKONOMI SARAWAK

mara

KUCHING, 25 Oktober 2026 – Kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 96.7 peratus menjadi antara bukti keberhasilan TVETMARA Kuching dalam melahirkan tenaga mahir yang memenuhi keperluan industri, sekali gus membuka laluan kerjaya dan peluang ekonomi kepada anak Sarawak.

Pencapaian ini menjadi antara sorotan Majlis Konvokesyen TVETMARA Kuching Ke-57 yang berlangsung di Dewan Sri Merpati, semalam dan disempurnakan oleh YBhg. Puan Ajar @ Siti Ajar Yasin, Ahli Majlis MARA.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan graduan memanfaatkan kepakaran yang diperoleh untuk menyumbang kepada pembangunan industri dan ekonomi negeri.

Keberhasilan pendidikan TVET turut diterjemahkan melalui kejayaan Cornelius Sean Anak Jim Stanley, penerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan dengan PNGK 3.87 yang kini berkhidmat sebagai Mechanical & Electrical Site Supervisor dengan pendapatan RM4,000 sebulan.

Sementara itu, Mohammad Hairulhafzan Othman menerima Anugerah Khas Industri selepas memperoleh tawaran pekerjaan di Toyota Borneo Mobility sebelum menamatkan latihan industri.

Dalam bidang keusahawanan, Ahmad Azinuddin Othman, penerima Anugerah Khas Keusahawanan berjaya membangunkan perniagaan sendiri dengan pendapatan antara RM8,000 hingga RM10,000 sebulan.

Keupayaan ini turut terserlah apabila enam pelajar Diploma Teknousahawanan Elektrik merekodkan jualan keseluruhan RM1.32 juta pada semester pertama menerusi perniagaan masing-masing.

Sejak pengambilan pertama pada 1984, TVETMARA Kuching telah melahirkan 13,149 graduan dengan hampir 90 peratus merupakan anak Sarawak.

Disokong kerjasama strategik bersama 32 industri, institusi ini terus memainkan peranan dalam menyediakan tenaga kerja mahir, melahirkan usahawan dan mewujudkan peluang ekonomi yang memberi manfaat kepada pembangunan Sarawak.

Oleh: nn