WANITA BERDAYA, EKONOMI KELUARGA LEBIH SEJAHTERA
MELAKA, 4 November 2026 – Peluang menjana pendapatan dan mengembangkan perniagaan dalam kalangan wanita serta komuniti setempat terus diberi perhatian menerusi Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti (PPWK) Parlimen Kota Melaka 2026 yang berlangsung di Dewan Kompleks JAPERUN DUN Kesidang, hari ini.
Program anjuran MARA Negeri Melaka bertemakan Wanita & Komuniti Memperkasa Keusahawanan ini menyasarkan penyertaan 200 peserta terdiri daripada wanita, belia, usahawan mikro, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin komuniti. Penganjurannya bertujuan memperluas akses kepada kemudahan pembiayaan, latihan kemahiran dan khidmat bimbingan bagi membantu masyarakat membina sumber pendapatan yang lebih mampan.
Antara pengisian utama ialah taklimat kemudahan MARA dan Bank Muamalat, sesi motivasi keusahawanan bersama Azlifa Md Idris, Ikon Wanita Melaka serta perkongsian inspirasi perniagaan dan pendigitalan oleh Farizal Mustaffa daripada Cendol Kampung Hulu. Perkongsian ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengurusan perniagaan, pemasaran digital dan pengalaman sebenar membangunkan perusahaan.
Peserta turut berpeluang mendapatkan khidmat nasihat menerusi klinik perniagaan, konsultasi pembiayaan dan kaunter pameran yang melibatkan agensi serta usahawan tempatan. Program ini turut menyediakan pemeriksaan kesihatan oleh U.n.i Klinik Pulau Gadong dan perkhidmatan manicure oleh GIATMARA Masjid Tanah.
Melalui kerjasama institusi pendidikan MARA, institusi kewangan dan rakan strategik, program ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada usahawan mikro untuk meningkatkan kemahiran, membina jaringan perniagaan dan meneroka pasaran baharu.
Inisiatif ini juga mendukung aspirasi 3P MARA, iaitu Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan, dengan memberi tumpuan kepada penglibatan aktif masyarakat dalam ekonomi, peningkatan pemilikan perniagaan serta penguasaan ilmu dan teknologi. Usaha ini diharap dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi komuniti dan kesejahteraan keluarga secara berterusan.
Oleh: Nurin MI


