𝗠𝗔𝗥𝗔, 𝗠𝗖𝗜 & 𝗦𝗔𝗠𝗦𝗨𝗡𝗚 𝗦𝗗𝗜𝗘𝗠 𝗠𝗘𝗥𝗜𝗡𝗧𝗜𝗦 𝗟𝗔𝗟𝗨𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗥𝗝𝗔𝗬𝗔 𝗕𝗘𝗥𝗣𝗘𝗡𝗗𝗔𝗣𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗧𝗜𝗡𝗚𝗚𝗜 𝗗𝗔𝗟𝗔𝗠 𝗜𝗡𝗗𝗨𝗦𝗧𝗥𝗜 𝗘𝗟𝗘𝗞𝗧𝗥𝗜𝗞 𝗗𝗔𝗡 𝗘𝗟𝗘𝗞𝗧𝗥𝗢𝗡𝗜𝗞 𝗡𝗘𝗚𝗔𝗥𝗔

mara

NEGERI SEMBILAN, 10 Jun 2026 – MARA menerusi Malaysia China Institute (MCI) telah bekerjasama dengan syarikat gergasi Korea Selatan, Samsung SDI Energy Malaysia (SDIEM), dalam melaksanakan Program Pembangunan Bakat dan Penempatan Kerja bagi menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk industri pembuatan bateri kenderaan elektrik (EV).

Kerjasama strategik ini telah membuka peluang kepada seramai 100 graduan TVETMARA untuk memulakan kerjaya dengan pakej gaji premium di Samsung SDIEM, sebuah syarikat multinasional (MNC) global yang mengoperasikan fasiliti Full Smart Manufacturing berteraskan teknologi Industri 4.0.

Bagi meraikan kejayaan program ini, Samsung SDIEM telah menganjurkan Majlis Pelepasan Program Pembangunan Bakat dan Penempatan Kerja Samsung SDIEM–MARA yang berlangsung di Senawang, Negeri Sembilan.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Samsung SDIEM, Encik Kim Kwang Soo, bersama barisan pengurusan kanan syarikat iaitu Encik Gan selaku Naib Presiden Pasukan Pembuatan, Encik Salleh selaku Pengarah II, serta Encik Muhamad Farius selaku Ketua Sumber Manusia.

Turut hadir mewakili MARA ialah Ir. Dr. Mahzan bin Teh, Timbalan Ketua Pengarah MARA, Puan Rohana binti Juusoh, Pengarah MARA Negeri Sembilan dan Ir. Nuriman bin Yusop, Pengarah Bahagian Kemahiran dan Teknikal MARA.

Kerjasama strategik ini membuktikan keyakinan industri global terhadap kualiti graduan TVETMARA dalam memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi. Seramai 100 graduan TVETMARA yang terpilih kini melangkah ke industri pembuatan bateri EV bertaraf dunia dengan peluang kerjaya berpendapatan tinggi, sekali gus membuktikan bahawa laluan TVET mampu menjadi pemangkin mobiliti sosial dan masa depan yang lebih sejahtera.

Oleh: hamli