๐ฌ๐ฃ๐ ๐ฅ๐๐ ๐ฃ๐๐ก๐๐๐ฃ๐๐๐๐ก ๐ฎ๐ฎ ๐ฃ๐๐๐๐๐๐ฅ ๐๐๐ ๐๐ฅ๐๐๐ก๐ ๐ฆ๐ฃ๐ ๐ฎ๐ฌ๐ฎ๐ฑ ๐ ๐ฅ๐ฆ๐ ๐๐จ๐๐๐๐ก๐
KUCHING, 10 Jun โ Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dengan kerjasama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuching hari ini meraikan kejayaan 22 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menerusi Majlis Penyampaian Sumbangan YPM Pelajar Cemerlang SPM 2025 yang berlangsung di Dewan Kenyalang, MRSM Kuching.
Majlis tersebut disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Rubiah Binti Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, sebagai tanda penghargaan kepada pelajar yang telah mencatatkan pencapaian akademik membanggakan dalam peperiksaan SPM 2025.
Dalam ucapannya, YB Datuk Hajah Rubiah Binti Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa, guru serta seluruh warga MRSM Kuching atas komitmen dan dedikasi dalam memastikan kecemerlangan pelajar terus diperkasakan.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada MRSM Kuching yang berjaya merekodkan Gred Purata Maktab (GPM) 2.635 dalam SPM 2025 serta menunjukkan peningkatan prestasi bagi beberapa mata pelajaran utama termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.
Beliau berkata, MARA komited menyediakan pendidikan berkualiti tinggi kepada anak Bumiputera menerusi pelbagai program berimpak tinggi dan bertaraf global seperti Program Usahawan Muda, Schoolwide Enrichment Model, Ulul Albab, IGCSE dan STEM Excellence.
Menurut beliau, usaha berterusan ini bertujuan melahirkan modal insan holistik yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
Majlis yang menghimpunkan lebih 700 peserta terdiri daripada guru, staf, pelajar dan tetamu jemputan itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, MARA serta warga MRSM Kuching dalam usaha memperkasa agenda pendidikan Bumiputera.
Penganjuran program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada kecemerlangan berterusan pelajar serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap peranan MARA dalam melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan bertaraf global.
Oleh: firusafira



