𝗠𝗔𝗥𝗔 𝗠𝗘𝗡𝗗𝗘𝗣𝗔𝗡𝗜 𝗔𝗚𝗘𝗡𝗗𝗔 𝗦𝗘𝗠𝗜𝗞𝗢𝗡𝗗𝗨𝗞𝗧𝗢𝗥 𝗕𝗨𝗠𝗜𝗣𝗨𝗧𝗘𝗥𝗔
KEDAH, 16 Mei 2026 – Satu Mesyuarat Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) Semikonduktor Bumiputera & Inisiatif Makmal Wide Bandgap (WBG) telah dihadiri oleh Ir. Dr. Mahzan bin Teh, Timbalan Ketua Pengarah MARA, bersama pihak UniKL dan CREST bertempat di UniKL Malaysia Spanish Institute (MSI), Kulim.
Perbincangan strategik ini memberi tumpuan kepada agenda pembangunan usahawan SME Bumiputera untuk menembusi rantaian bekalan (supply chain) global dalam industri semikonduktor.
Melalui kolaborasi erat bersama CREST, MARA komited mewujudkan ekosistem semikonduktor yang menyeluruh (front-end dan back-end) dalam kalangan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) yang diterajui oleh MJII, UniKL MSI, dan UniKL BMI.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, beberapa pendekatan strategik telah digariskan merangkumi pembangunan bakat elit menerusi laluan pintar pelajar MRSM ke UniKL dan universiti terkemuka dunia, serta program latihan intensif untuk kakitangan MARA.
Melalui pemerkasaan ini, MARA menyasarkan peningkatan graduan mahir di sektor semikonduktor bagi mengisi kerjaya berpendapatan premium dalam bidang design, foundry, dan testing. Di samping itu, pelajar IPMA juga akan dibimbing menjadi usahawan tekno melalui konsep Integrated Device Manufacturer (IDM) serta pembangunan persijilan profesional eksklusif milik MARA sendiri sebagai nilai tambah industri.
Langkah memperkasakan ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta latihan berteknologi tinggi ini adalah bagi menyokong pembangunan teknologi berketepatan tinggi (precision technology) dan kecerdasan buatan (AI) demi memacu kecemerlangan pendidikan TVET negara.
Oleh: firusafira



