π‘ππ«π§πππ‘πππ π ππ₯π π£ππ₯πππ¦ πππ§π¨π¦ π ππ‘ππ§ πππ¨π¦ππππͺππ‘ππ‘ πππ‘ππ₯ππ¦π π π¨ππ
ARAU, 18 Mei 2026 β Kira-kira 500 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar negeri Perlis menyertai Program NextGenBiz MARA 2026 Peringkat Negeri Perlis yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam usaha mencetus minat serta memperluas pendedahan terhadap dunia keusahawanan sebagai pilihan kerjaya masa hadapan.
Penyertaan melibatkan pelajar daripada UniMAP, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), dengan fokus kepada pelajar semester akhir sebagai persediaan awal sebelum melangkah ke alam pekerjaan dan perniagaan.
Program anjuran MARA itu memberi pendedahan berkaitan ekosistem pembangunan usahawan, peluang pembiayaan, kepentingan pendigitalan perniagaan serta jaringan bersama pemain industri bagi membantu graduan melihat keusahawanan sebagai laluan kerjaya berpotensi.
Antara pengisian utama ialah Forum Ikon Usahawan Berjaya bertajuk Idea Ke Income: Bagaimana Menukar Minat Kepada Perniagaan serta sesi Power Talk oleh Pengarah Urusan BIZMILLA, Puan Norsyarmilla Jirin yang berkongsi pengalaman dan nilai ketekunan dalam membina perniagaan.
Turut diadakan pameran keusahawanan melibatkan beberapa organisasi dan perusahaan bagi memberi peluang kepada peserta mendekati ekosistem perniagaan secara lebih dekat, selain membuka ruang jaringan bersama usahawan dan pemain industri.
Ketua Pengarah MARA, Datoβ Zulfikri Osman turut menyampaikan sesi NextGen Leaders Talk bertajuk Gen-Z & Dunia Bisnes: Peluang, Cabaran dan Strategi Daya Tahan Usahawan yang menyentuh kepentingan daya tahan, inovasi dan kebolehsuaian generasi muda dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.
Beliau turut meluangkan masa meninjau pameran keusahawanan serta berinteraksi bersama peserta dan usahawan yang terlibat sepanjang program berlangsung.
Dalam program sama, turut berlangsung penyerahan simbolik kemudahan pembiayaan MARA kepada beberapa usahawan tempatan menerusi Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE) dan Skim Pembiayaan Perniagaan Mudah Jaya (SPiM) sebagai sokongan dalam membantu pengembangan perniagaan Bumiputera.
Penghargaan turut diberikan kepada rakan strategik iaitu UniMAP, UiTM dan UniSIRAJ atas kerjasama dalam menjayakan program tersebut.
Penganjuran Program NextGenBiz MARA mencerminkan komitmen berterusan MARA dalam melahirkan generasi usahawan muda Bumiputera yang berdaya saing selaras aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Bersempena sambutan 60 tahun MARA, program seperti ini terus menjadi platform penting dalam menyediakan ruang pembangunan bakat dan potensi generasi muda negara.
Oleh: shafiz hamzah



