𝗠π—₯𝗦𝗠 π—₯𝗔𝗑𝗔𝗨 π—§π—˜π—₯𝗨𝗦 π—–π—œπ—£π—§π—” π—žπ—˜π—–π—˜π— π—˜π—₯π—Ÿπ—”π—‘π—šπ—”π—‘ π—”π—žπ—”π——π—˜π— π—œπ—ž 𝗗𝗔𝗑 π—£π—˜π— π—•π—”π—‘π—šπ—¨π—‘π—”π—‘ π—›π—’π—Ÿπ—œπ—¦π—§π—œπ—ž π—£π—˜π—Ÿπ—”π—π—”π—₯

mara

RANAU, 22 Mei– Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau terus menunjukkan prestasi membanggakan dalam pembangunan akademik dan pembentukan sahsiah pelajar selaras aspirasi melahirkan modal insan holistik dan cemerlang.

Sehingga Mei 2026, MRSM Ranau merekodkan enrolmen seramai 423 pelajar melibatkan 210 pelajar lelaki dan 213 pelajar perempuan. Majoriti pelajar merupakan anak Sabah dengan seramai 401 pelajar berasal dari negeri itu.

Institusi yang terletak pada ketinggian 721 meter dari aras laut di kaki Gunung Kinabalu ini turut dibarisi 64 warga kerja yang komited dalam memastikan kecemerlangan akademik serta pembangunan sahsiah pelajar terus diperkasakan.

MRSM Ranau terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila keputusan SPM 2025 merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.128 sekali gus meletakkan MRSM Ranau di kedudukan pertama dalam kalangan MRSM di Borneo dan kedudukan ke-24 peringkat kebangsaan.

Selain itu, MRSM Ranau juga berada di tempat kedua di Sabah bagi kategori Sekolah Berprestasi Tinggi (STEM A). Kejayaan ini menjadi bukti usaha berterusan warga pendidik serta komitmen pelajar dalam mencapai kecemerlangan akademik.

YBhg. Dato’ Zulfikri bin Osman, Ketua Pengarah MARA dalam merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Apresiasi Kecemerlangan SPM 2025 berkata, kecemerlangan yang diraih MRSM Ranau bukan sekadar pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya mencerminkan usaha berterusan dalam melahirkan generasi berilmu, berintegriti dan memiliki nilai kepimpinan tinggi.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan pelajar hari ini merupakan asas penting dalam membentuk masa depan negara yang lebih cemerlang melalui pembangunan modal insan berkualiti dan berdaya saing.

Oleh: firusafira